28.6 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

Mahkamah Tolak Bantahan Jabatan Peguam Negara, Benarkan 18 Belia Saman Kerajaan

Must read

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis menolak bantahan Jabatan Peguam Negara selepas Hakim membenarkan sekumpulan anak muda menyaman kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana menangguhkan hak belia berumur 18 hingga 20 untuk mengundi tahun ini, andainya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

Dalam membenarkan saman semakan kehakiman itu, Mahkamah memutuskan bahawa anak muda berkenaan terkesan secara langsung oleh pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seramai 1.2 juta golongan belia di Malaysia hanya boleh terlibat dalam proses pilihan raya selepas September 2022.

Dalam penghakimannya, Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata pindaan perlembagaan bagi menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 tahun telah diluluskan oleh Parlimen dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, manakala isu yang masih tergantung adalah proses pelaksanaannya.

“Mahkamah perlu membenarkan perkara ini untuk didengar di peringkat seterusnya dan membolehkan responden memberikan penjelasan melalui afidavit, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Sehubungan itu, mahkamah membenarkan prosiding semakan kehakiman dimulakan tanpa sebarang kos,” katanya ketika membacakan penghakiman setebal 22 muka surat secara maya melalui aplikasi Zoom.

Hakim itu berkata, mahkamah juga bersetuju dengan hujah pemohon bahawa pindaan ke atas tiga undang-undang berkaitan pilihan raya adalah isu kedua yang tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pindaan perlembagaan untuk dilaksanakan.

“Saya berpandangan yang kes pemohon adalah bukan sesuatu yang remeh atau menjengkelkan,” tambah Ahmad Kamal.

Mahkamah seterusnya menetapkan 1 Julai untuk pengurusan kes melalui e-review, manakala tarikh perbicaraan untuk semakan kehakiman masih belum ditetapkan.

Kumpulan 18 anak muda itu diwakili oleh barisan peguam yang terdiri dari S. Ambiga, Gurdial Singh Nijar, New Sin Yew dan empat lagi peguam manakala kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dalam prosiding secara maya itu.

Pada 19 April lepas, Jabatan Peguam Negara yang diwakili oleh Shamsul telah mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap permohonan 18 anak muda berkenaan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan berhubung penanguhan perlaksanaan Undi 18 secara automatik.

Peguam Kanan Persekutuan pada masa itu berkata, bantahan awal tersebut dibuat atas alasan permohonan yang dikemukakan oleh 18 orang anak muda tersebut adalah pramatang, remeh dan menjengkelkan.

Shamsul juga berhujah dengan berkata beberapa akta berkaitan pilihan raya perlu dipinda terlebih dahulu sebelum kerajaan boleh melaksanakan had umur mengundi 18 tahun, selain kerajaan memerlukan mekanisme tertentu yang perlu dipatuhi sebelum boleh melaksanakan pendaftaran undi automatik.

Beberapa minggu sebelum itu, iaitu pada 2 April, gerakan Undi18 telah memfailkan tindakan undang-undang dengan mengemukakan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan SPR, atas dakwaan melewatkan proses membenarkan anak muda berumur 18 hingga 20 tahun mengundi dalam pilihan raya umum, yang berkemungkinan akan diadakan pada tahun ini.

Menerusi permohonan itu, gerakan Undi18 memohon satu deklarasi bahawa tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan langkah menurunkan had umur pengundi daripada 21 kepada 18 sebagai “tidak rasional, tidak sah, tidak seimbang serta adalah satu bentuk penindasan pengundi”.

Selain itu, mereka juga memohon deklarasi mahkamah supaya anak muda yang berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun dibenarkan untuk mengundi pada atau sebelum Julai 2021.

‘Suara Anak Muda Penting’

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Gerakan Undi18 yang memperjuangkan isu berkenaan merakamkan penghargaan kepada Mahkamah Tinggi atas keputusan tersebut.

“Pihak Undi18 didorong oleh arahan semakan kehakiman ini yang menggalakkan, dan kami berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa anak muda berusia antara 18 hingga 20 tahun berhak mengundi seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Suara anak muda perlu didengari sekarang lebih daripada sebelumnya, terutama dalam tempoh pandemik serta keadaan darurat, di mana nilai-nilai demokratik sangatlah mustahak untuk ditegakkan,” menurut gerakan itu.

“Sekiranya semakan kehakiman ini diluluskan, dianggarkan bahawa 1.2 juta anak muda di Malaysia berusia antara 18 hingga 20 tahun yang dilucutkan hak akan akhirnya diberi peluang untuk menggunakan hak mereka untuk mengundi, bagi kali pertama dalam sejarah Malaysia,” ujar gerakan itu lagi.

Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri memaklumkan BenarNews di sebalik keputusan mahkamah pada Khamis, perjalanan mereka masih jauh.

“Kami masih perlu mengemukakan hujah di mahkamah. Saya sangat yakin dengan kemampuan barisan peguam kami dan saya sangat percaya yang keadilan berpihak kepada kami.

“Bagaimanapun, kerajaan setakat ini belum memberi gambaran yang mereka akan berpegang kepada janji melaksanakannya (Undi18) pada masa yang ditetapkan. Oleh itu kami akan terus memberi tekanan,” katanya semasa dihubungi pada Khamis.

Peguam New Sin Yew dalam satu kenyataan berkata dengan keputusan itu, kerajaan kini perlu menjelaskan kepada mahkamah alasan-alasan yang tepat untuk menangguhkan pelaksanaan menurunkan had umur pengundi.

Pada Julai 2019, kedua-dua cabang Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah sebulat suara mengundi menyokong Rang Undang-Undang 2019 (Pindaan) Perlembagaan, yang melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur minimum pengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 4 September 2019 dan telah diterbitkan dalam gazet kerajaan pada 10 September, 2019.

Walaupun telah melepasi semua proses tersebut, ianya masih belum dilaksanakan, dengan pada Oktober 2019, Menteri yang bertanggungjawab ketika itu, Liew Vui Keong dilaporkan berkata undang-undang berkenaan dijangka dapat dilaksanakan paling lewat menjelang Julai 2021.

Semua proses ini berlaku semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, yang tumbang pada Febuari tahun lalu akibat krisis politik yang membawa kepada penubuhan kerajaan baharu di bawah pemerintahan Perdana Menteri ke-8 yang baharu dilantik Muhyiddin Yassin.

Segala perancangan pelaksanaan pindaan itu dilihat tergugat apabila Presiden Dewan Negara yang baharu Rais Yatim mengumumkan pada 11 Mac tahun ini bahawa Malaysia “belum bersedia” untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Susulan itu, pada 25 Mac Pengerusi SPR yang baharu dilantik, Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata undang-undang itu dijangka hanya akan dapat dilaksanakan selepas September 2022, sekaligus membawa kepada tindakan mahkamah oleh kumpulan anak muda berkenaan terhadap kerajaan.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Related Articles

Video
YouTube