24.2 C
Gombak
Tuesday, June 22, 2021

Lelaki maut ditetak, dua rakan parah

Must read

TELUK INTAN: Lelaki ditemukan mati dengan tangan kanan hampir putus dan berlumuran darah dipercayai dibunuh di tapak pembinaan perumahan Taman Desa Maju Perak, Langkap, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 6.45 petang itu, mangsa berusia 29 tahun itu ditemukan dalam keadaan mengiring di kawasan semak di tapak pembinaan berkenaan.

Dua lagi lelaki berusia 19 dan 25 tahun yang juga rakan mangsa parah.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 9 malam.

Menurutnya, ketika ditemui mangsa berpakaian lengkap berbaju T-shirt lengan pendek bercorak kelabu putih, berseluar pendek berwarna coklat dan tidak memakai kasut.

“Berdasarkan siasatan, kejadian berlaku ketika mangsa sedang minum bersama tiga rakannya di sebuah rumah kedai kosong sebelum tiba-tiba didatangi dua kenderaan dinaiki lapan lelaki.

“Kumpulan lelaki itu kemudian menyerang kesemua mangsa menyebabkan mereka melarikan diri dan dikejar menggunakan parang.

“Mangsa kemudian melarikan diri seorang diri ke kawasan belukar berhampiran tapak perumahan berkenaan dan dipercayai ditetak di situ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, dua lagi rakan mangsa turut cedera ditetak yang mana seorang putus tiga jari kiri, manakala seorang lagi cedera di lengan kanan.

“Seorang lagi rakan mereka berjaya melarikan diri dan tidak mengalami kecederaan.

“Dua lelaki yang cedera itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan berlaku rentetan daripada pergaduhan di kawasan deretan kedai berhampiran.

“Tempat kejadian adalah lapan deretan kedai pelbagai perkhidmatan. Kawasan tidak berpagar dan dikelilingi perumahan yang masih dalam pembinaan dalam jarak kira-kira 100 meter dari kawasan perumahan.

“Berdasarkan keterangan rakan mangsa yang berjaya melarikan diri, lima suspek adalah individu dikenali, manakala tiga lain tidak dikenali dan satu daripada kenderaan adalah Proton Iswara berwarna putih,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan semua suspek yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Asisten Superintendan Hamzanni di talian 05-6299222,” katanya.

Related Articles

Video
YouTube