32.4 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Kes Harian COVID-19 di Malaysia Mungkin Cecah 8,000 Pada Jun

Must read

Bilangan kes koronavirus di Malaysia mungkin melepasi paras 8,000 sehari menjelang Jun jika orang ramai tidak mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan, demikian menurut data yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia pada Jumaat tatkala negara itu mencatatkan lebih 4,000 jangkitan harian selama tiga hari berturut-turut.

Unjuran itu menunjukkan risiko peningkatan mendadak berbanding jangkaan awal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa jangkitan baharu boleh mencecah 5,000 kes sehari pada Jun.

“Trend peningkatan yang mengunjurkan lebih 8,000 kes bermula 13 Mei hingga 6 Jun, dengan kadar kebolehjangkitan pada jangkaan mengikut kes harian meningkat kepada 1.14 Ro/Rt.

“Negeri Perak (antara negeri di utara Semenanjung) mencatat kadar kebolehjangkitan tertinggi dengan kadar Ro/Rt 1.32, diikuti Terengganu (1.29) dan Kedah (1.22),” menurut data yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah di laman Twitter rasmi beliau pada Jumaat.

Kadar Ro/Rt di negeri lain iaitu Pulau Pinang ialah 1.21 diikuti Melaka (1.18), Selangor dan Johor (1.17), Negeri Sembilan (1.12), Pahang (1.11) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.10).

Ro/Rt merujuk kepada kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan individu yang dikesan positif virus itu.

Pada Februari lepas, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME) Amerika Syarikat mengunjurkan kes harian baharu di Malaysia mencecah 20,000 menjelang Mac 2021.

Bagaimanapun, jangkaan itu tersasar apabila Malaysia hanya mencatatkan sekitar 4,000 kes sejak Mac.

Noor Hisham dalam kenyataan media berasingan memaklumkan Malaysia mencatatkan 4,113 jangkitan baharu menjadikan kes kumulatif di negara itu berjumlah 462,190.

Sebelum itu pada Rabu, Malaysia mencatat 4,765 kes harian baharu dengan 39 kematian – jumlah kematian tertinggi pernah direkodkan sejak penularan COVID-19 pada awal 2019. Pada Khamis, Malaysia mencatatkan jangkitan harian tertinggi dengan 4,885 kes dan 27 kematian.

Gesa kerajaan lancar ujian besar-besaran

Susulan trend jangkitan yang tinggi dalam komuniti, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan menjalankan program ujian saringan COVID-19 secara besar-besaran di seluruh negara melibatkan kawasan yang dikenal pasti sebagai titik panas bawah sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE).

Presiden MMA Subramaniam Muniandy berkata ujian saringan bersasar secara besar-besaran mampu mengesan jangkitan awal dan menghalang penularan lebih meluas COVID-19.

“MMA percaya kes harian mungkin lebih tinggi kerana kita tidak menjalankan ujian secukupnya. Kita tidak harus menunggu sehingga orang ramai menunjukkan simptom. Sebaliknya kita perlu membuat saringan dan mengasingkan mereka yang positif serta-merta sementara kontak rapat mereka dicari dan diuji,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya lagi, majoriti pekerja asing yang disaring sejak akhir tahun lepas bukan kontak rapat namun susulan ujian yang dijalankan, sebilangan mereka didapati positif COVID-19.

HIDE merupakan analisis data raya dan kecerdasan buatan (AI) yang meramalkan sesebuah premis yang berpotensi menjadi titik panas penularan COVID-19 dalam tempoh tujuh hari.

Analisis yang dibuat menggunakan data daftar masuk aplikasi MySejahtera dan pangkalan data kesihatan sedia ada.

Fokus kepada program vaksinasi

Sementara itu, seorang pemimpin pembangkang Malaysia mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) “berhenti bermain dengan kehidupan rakyat dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang olok-olok dan sebaliknya menggandakan usaha untuk mempercepat proses vaksinisasi.”

Ahli Parlimen Bukit Mertajam daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) Steven Sim Chee Keong dalam kenyataan media pada Jumaat mendakwa kerajaan PN terbukti gagal membendung pandemik COVID-19 berikutan kenaikan jumlah kes harian.

Sim berkata walaupun rakyat sedia berkorban demi meratakan lengkuk jangkitan seperti semasa PKP 1.0 namun ‘PKP olok-olok’ selepas itu dilihat sebagai menyukarkan kehidupan sebilangan besar rakyat dari aspek sosial, ekonomi dan kesihatan mental.

Sim berkata kerajaan perlu melakukan apa sahaja termasuk membelanjakan wang untuk meningkatkan bekalan vaksin secepat mungkin dan meningkatkan kadar vaksinisasi harian bagi mencapai 80 peratus penduduk Malaysia pada akhir tahun ini seperti yang disasarkan.

“Kita tidak punya pilihan lain. Kerajaan patut berhenti bermain dengan kehidupan rakyat dengan strategi PKP olok-olok. Lebih baik kita menaruh segala usaha untuk mempercepat proses vaksinasi,” katanya.

Rabu lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memutuskan untuk menguatkuasakan PKP 3.0 yang antara lain melarang pergerakan rentas daerah dan negeri serta amalan kunjung mengunjung ketika Aidilfitri.

Menurut Muhyiddin, ia adalah langkah yang sukar namun perlu dilakukan walaupun ia bukan keputusan popular demi menyelamatkan rakyat ketika negara bergelut memerangi gelombang ketiga COVID-19 yang lebih mencabar dengan kehadiran varian baharu yang lebih ganas seperti dialami di India, United Kingdom, Brazil, Afrika Selatan dan beberapa negara lain.

Related Articles

Video
YouTube