28.1 C
Gombak
Saturday, March 6, 2021

Kerajaan Salur RM164 Juta Ke Sabah

Must read

SUBANG – Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, YB Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba melakukan tinjauan persiapan yang dilaksanakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia, TUDM di Pangkalan Udara Subang bagi penghantaran keperluan barang-barang kritikal bagi menangani pandemik COVID-19 ke Sabah pada jam 8.30 pagi tadi.

Perdana Menteri tiba di PU Subang pada jam 8.30 pagi dan telah disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal bin Haji Abdul Samad. Beliau kemudiannya diberikan taklimat ringkas oleh Panglima Tentera Udara berkenaan penugasan pesawat-pesawat TUDM dalam misi membantu memerangi wabak COVID-19 sepanjang tahun ini di Sabah dan Sarawak.

Sejurus selepas taklimat, Perdana Menteri kemudiannya meninjau proses persiapan memasukkan barang-barang bantuan ke dalam badan pesawat dan anggota Cabang Pergerakan Udara Subang serta anak kapal pesawat yang terlibat bagi penghantaran pada pagi ini.

Pada hari ini, dua buah pesawat angkut telah diaturgerak oleh TUDM bagi misi ini iaitu A400M dari No. 22 Skuadron dan C-130H daripada No.20 Skuadron.

Pesawat A400M (RMF 182A) telah diterbangkan oleh Mejar In’amul Hasan bin Shuhaimi TUDM, Mejar Tengku Syed Muhammad Amin bin Tengku Syed Abdul Rahman, TUDM, Kapt Mohd Mazhan bin Puteh @Abdullah TUDM dan dibantu oleh loadmaster FSjn Tuan Mohd Razali Tuan Abdullah dan Sjn U Mohd Hasyimi bin Md Hassim akan membuat penerbangan dari Pangkalan Udara Subang ke Kuching, Tawau dan Kota Kinabalu dan kembali ke Pangkalan Udara Subang. Pesawat berlepas pada jam 1000 pagi dan jumlah jam penerbangan pada hari ini akan mengambil masa kira-kira selama 10 jam.

Kelengkapan yang dibawa adalah peralatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Peralatan Perlindungan Diri (PPE) sebanyak 150 set, face shield sebanyak 150 kotak, coverall / jumpsuit sebanyak 50 kotak, ward screen sebanyak 10 unit, procedure trolley (15 unit), gown / shoe cover 80 kotak, biological safety cabinet (3ea), kerusi makmal (3ea), red cells (4 kotak) dan platlet darah (3 kotak).

Pesawat A400M ini juga turut membawa barangan dari Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi. Barangan ini merupakan sarung tangan getah – 100 kotak (649 kg). Manakala barangan daripada Yayasan Amal Malaysia merupakan kotak tudung (2 kotak), kotak Al Quran (25 kotak), kotak naskah Doa Darussyifa (3 kotak), kotak pakaian dan peralatan (5 kotak).

Selain itu, turut membawa barangan daripada Kementerian Pertahanan iaitu pelitup muka dan PPE sebanyak 44 kotak serta barangan daripada Sunway Healthcare dengan peralatan ventilator unit (2ea), pelitup muka (25 kotak) dan hand sanitizer (22 kotak).

Pesawat angkut kedua iaitu C-130H (RMF-182 B) pula telah diterbangkan oleh Kapt Aiman bin Mohd Akhbar TUDM. Kapt Muhammad Amirol bin Mohd Deran TUDM, Kapt Mohd Solihin bin Azman TUDM (Navigator), Mej Nik Hasri bin Nik Leh TUDM (Flight Engineer) dan dibantu oleh tiga orang loadmaster iiatu PW U II Jonas anak Gama, Sjn U Muhamad Anuar bin Mohd Yusoff dan FSjn Mohd Shazuwan bin Mohd Juhan. Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Subang menghantar barangan ke Kota Kinabalu dan Labuan dan kembali ke Pangkalan Udara Subang.

Pesawat kedua berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 10.30 pagi. Penerbangan keseluruhan mengambil masa kira-kira selama 8 jam membawa kelengkapan KKM iaitu set PPE sebanyak 400 kotak, face shield sebanyak 50 kotak dan Coverall / Jumpsuit sebanyak 50 kotak.

Peranan yang dimainkan oleh TUDM dalam membantu negara dalam memerangi COVID-19 amat penting kerana pesawat-pesawat TUDM mampu diaturgerak pada bila-bila masa serta mampu membawa barangan mega ton.

Untuk rekod, bermula dari 22 Mac hingga 27 Oktober 2020, sebanyak 17 penerbangan atau sortie penghantaran telah berjaya dilaksanakan oleh TUDM melibatkan jumlah muatan barang bantuan seberat 433,886.5 kg. Antara barangan yang dibawa adalah set PPE, pelitup muka, sarung tangan, hand sanitizer, peralatan hospital medan ATM, peralatan hospital KKM, mesin x-ray, mesin bius, ventilator, bekalan farmasi, COVID-19 test kit, sampel COVID-19, peralatan memasak dan makanan.

Selain itu, sepanjang Oktober ini, sebanyak 471 kotak sampel COVID-19 dari Labuan, Kota Kinabalu dan Tawau telah dibawa menggunakan penghantaran oleh pesawat TUDM untuk diserahkan kepada pihak KKM di PU Subang bagi dilaksanakan ujian pengesahan di makmal-makmal Semenanjung Malaysia.

TUDM juga turut membawa 68 petugas terdiri daripada pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) bagi pengoperasian Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia, HMATM di Tawau berikutan gelombang ketiga pandemik COVID-19. Manakala seramai 151 orang Tim Mobilisasi KKM telah dihantar ke Tawau dan Kota Kinabalu.

Semasa tinjauan Perdana Menteri di Pangkalan Udara Subang hari ini juga, beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada anggota TUDM serta agensi-agensi lain yang terlibat sebagai barisan hadapan yang mana sentiasa bertungkus-lumus membantu negara bagi mengawal serta memerangi wabak COVID-19 dalam negara ini.

Semoga kerjasama, komitmen dan usaha bersepadu yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam memerangi wabak ini dapat memberikan hasil yang terbaik kepada negara demi memastikan Malaysia dan rakyatnya kembali sejahtera serta menikmati kehidupan harian seperti biasa kembali.

Related Articles

Video
YouTube