29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Kerajaan Malaysia tamatkan perkhidmatan pengerusi Prasarana

Must read

Kerajaan Malaysia telah menamatkan perkhidmatan Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi syarikat pengangkutan awam Prasarana Malaysia Berhad susulan tekanan dari rakyat yang berang dengan kenyataan “tidak sensitif” beliau berhubung kemalangan dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuala Lumpur yang mengakibatkan lebih 200 penumpang cedera pada Isnin.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen dari parti Pertubuhan Kebangaan Melayu Bersatu (UMNO) menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas beliau menggambarkan kemalangan itu sebagai sesuatu “normal… hanya dua tren bersama, saling bercium..” ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang media sehari selepas kejadian.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan (Diperbadankan) telah bersetuju agar perkhidmatan Datuk Seri (Tajuddin) sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd ditamatkan berkuat kuasa serta merta.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah Datuk Seri berikan kepada Prasarana sepanjang menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat,” menurut kandungan surat bertarikh 26 Mei 2021 yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang tular di media sosial pada Rabu.

Kementerian Kewangan turut mengesahkan kesahihan surat tersebut.

Dalam reaksinya kepada sebuah portal berita tempatan, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata beliau masih belum menerima surat rasmi penamatan perkhidmatannya dari Kementerian Kewangan.

“Belum lagi… Nak tamatkan, tamatkan lah. Apa masalahnya? Kenapa” Nak tamatkan, tamatkan lah. Terima kasih lah. Saya boleh buat kerja lain,” jawab Tajuddin apabila dihubungi oleh wartawan portal berita tempatan The Malay Mail.

Pada awal Rabu, mantan perdana menteri Najib Razak cuba meredakan kemarahan orang ramai dengan menyatakan Tajuddin telah mengakui kesilapan dalam sidangnya berhubung kemalangan tren LRT sebelum itu.

“Beliau mengaku buat kesilapan semasa sidang media mengenai kemalangan LRT. Justeru, beliau menerima nasihat serta teguran saya untuk meminta maaf atas cara pengendalian sidang media sebab tragedi di mana ramai cedera parah bukan masa untuk berseloroh.

“Dia akui, dia tak sepatutnya mengendalikan sidang media sebegitu rupa. Dia sendiri akui, sidang media itu sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik dan penuh empati serta maklumat. Dia juga akan meminta maaf kepada wartawan yang hadir terutama wartawan Phoenix TV,” kata najib dalam muat naik di laman media sosial Facebooknya.

Najib berkata Tajuddin juga telah berjanji untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd sebaik sahaja Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengarahkan semua ahli UMNO untuk meletakkan jawatan pada masa yang sesuai seperti keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung bulan lepas.

NGO sambut baik pemecatan Tajuddin

Keputusan kerajaan itu disambut baik oleh Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) Ajit Jothi, yang sebelum ini mendesak Tajuddin untuk meletak jawatan atau dipecat serta merta kerana gagal turun padang selepas kemalangan berlaku.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana melakukan perkara yang betul dan terima kasih juga kepada Menteri Kewangan kerana menjalankan tugas untuk menamatkan perkhidmatan beliau (Tajuddin).

“Kami berharap calon yang akan dilantik bagi mengisi jawatan tersebut adalah individu yang mempunyai pengalaman dan kredibiliti dalam bidang pengangkutan serta komited terhadap keselamatan penumpang pengangkutan awam – asalkan bukan ahli politik,” katanya kepada BenarNews.

Bagaimanapun beliau menegaskan pemecatan Tajuddin tidak harus dilihat sebagai penyelesaian muktamad kepada insiden kemalangan itu dan menuntut supaya siasatan telus dijalankan bagi melindungi kepentingan orang ramai.

“Kami berharap Perdana Menteri mengambil kira pandangan 4PAM bahawa Jawatankuasa Siasatan mesti melibatkan pakar bebas dalam bidang pengangkutan awam dan turut disertai oleh orang awam bagi memastikan siasatan yang telus dan komprehensif,” katanya.

Ajit turut menegaskan bantuan RM1,000 (AS$241.40) yang diumumkan oleh Tajuddin sebelum ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dan tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian muktamad kepada liabiliti pihak Prasarana Malaysia sebagai pengendali perkhidmatan LRT di ibukota Kuala Lumpur.

“Semua proses pembayaran pampasan mesti dilakukan dengan telus bagi melindungi hak kesemua penumpang yang terlibat, termasuk mereka yang mengalami kecederaan atau tidak dan kita sedia mencadangkan pemerhati bebas bagi memantau proses ini,” ujarnya lagi.

Polis siasat Tajuddin

Sementara itu, Polis DiRaja Malaysia mengesahkan telah memulakan siasatan ke atas Tajuddin kerana gagal memakai pelitup muka semasa sidang media pada Selasa selepas meninjau lokasi kemalangan tren di Stesen LRT KLCC di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan dijalankan menurut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.

“Kesemua yang terlibat dalam kes ini akan dipanggil ke Ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Video Tajuddin tidak memakai pelitup muka dalam sidang media berkenaan turut tular di media sosial dan mendapat kritikan ramai netizen.

Tajuddin telah dilantik sebagai Pengerusi bukan eksekutif Prasarana Malaysia oleh kerajaan Perikatan Nasional berkuatkuasa 11 Mei 2020 bagi menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim yang melepaskan jawatan pada awal bulan tersebut.

Tajuddin pernah dipecat oleh Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 1995 kerana didakwa terlibat dalam amalan politik wang berjumlah RM6 juta (AS$1.44 juta) dalam pertandingan merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak yang disandang oleh Menteri Besar Perak ketika itu, Ramli Ngah Talib.

Bagaimanapun pada 1998, Tajuddin diterima semula menyertai UMNO tanpa syarat sebelum dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Pasir Salak tanpa bertanding dua tahun kemudian.

Tajuddin pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bermula 2013 hingga pembubaran Parlimen pada 2018 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan Barisan Nasional kehilangan kuasa buat pertama kali sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Siasatan kemalangan diteruskan

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dalam satu kenyataannya pada Rabu berhubung kemalangan tersebut menegaskan faktor kecuaian manusia hanyalah satu daripada aspek siasatan keatas pelanggaran dua tren LRT di Kuala Lumpur pada Isnin.

Justeru Wee berkata persepsi umum bahawa kecuaian adalah punca utama kemalangan itu adalah kurang tepat dan berkata Jawatankuasa Siasatan telah memulakan siasatan dari pelbagai aspek termasuk kecuaian manusia.

“Saya ingin menjelaskan bahawa ‘faktor manusia’ hanya salah satu aspek dalam siasatan kerana banyak lagi faktor keseluruhan teknikal dan operasi turut diteliti.

“Kami ingin menegaskan bahawa salah seorang kakitangan (hostler) yang terlibat dalam kejadian tersebut juga telah disahkan negatif dadah oleh pihak polis pada 25 Mei 2021. Individu tersebut wajar diberi hak bagi memudahkan siasatan tanpa rumusan awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Wee berkata siasatan itu juga akan memberi tumpuan kepada bagaimana dan mengapa halangan keselamatan telah dilanggar sehingga menyebabkan insiden tersebut berlaku serta memberi cadangan keselamatan sepenuhnya untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

Wee turut berkata kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan sedang dijalankan dan operasi perkhidmatan tren dijangka akan kembali beroperasi seperti normal dalam masa terdekat selepas mendapat kelulusan operasi oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Mengikut status kerja terkini, 2 buah tren yang terlibat dalam pelanggaran akan ditarik balik ke Depoh LRT Kelana Jaya untuk pembaikan pada tengah malam ini (Rabu) selepas tamat perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya hari ini.

“Kesemua 58 buah tren dijangka beroperasi semula secepat mungkin seterusnya dapat mengelakkan kesesakan serta kepadatan penumpang. Apa yang penting, soal keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya dalam kenyataan itu.

Pada Isnin, dua tren milik Prasarana telah bertembung menyebabkan kecederaan kepada lebih 200 mangsa dengan enam daripada mangsa insiden itu disahkan berada dalam keadaan kritikal dan kini masih menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Related Articles

Video
YouTube