32.6 C
Gombak
Friday, February 26, 2021

Kenyataan Taki, Annuar Musa sokong Tok Abah tak boleh digunapakai, kata Pemuda PKR Sabah

Must read

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin, menepis kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, dan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa, berhubung sokongan ahli Parlimen kepada Anwar Ibrahim sebagai “tidak boleh digunapakai”, kerana mereka sekadar mengumumkan pendirian parti atau gabungan masing-masing.

Katanya dalam kenyataan hari ini, kenyataan menegaskan sokongan PAS dan Umno kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak relevan kerana sokongan kepada presiden PKR itu adalah secara peribadi ahli Parlimen terbabit.

“Adakah Takiyuddin yakin tidak ada ahli Parlimen PAS yang menandatangani akuan menyokong Anwar sebagai perdana menteri Malaysia ke-9 serta membentuk kerajaan campuran?” katanya.

“Begitu juga dengan kenyataan Annuar yang mendakwa ahli Parlimen BN kekal menyokong Muhyiddin.”

Beliau mengingatkan Takiyuddin dan Annuar kepada laporan kenyataan presiden Umno dan pengerusi BN, Zahid Hamidi, bahawa Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli Parlimen menyokong Anwar.

“Adakah Annuar ingin menyatakan Zahid berbohong? Atau kenyataan Annuar sekadar ‘penyedap hati’,” tambahnya.

Beliau mengingatkan Takiyuddin dan Annuar bahawa Perikatan Nasional “melanggar” 17 kerusi BN pada pilihan raya Sabah baru-baru ini. Katanya lagi, BN juga ditekan sehingga tertunduk dalam isu ketua menteri Sabah.

“Ini menunjukkan Umno dan BN sudah tidak ada nilai,” katanya.

“Kita boleh melihat dengan jelas kenyataan kedua-dua setiausaha agung ini seperti sudah dirancang dan hanya bertujuan untuk meredakan keresahan mereka, sedangkan Umno dan PAS hari ini sekadar ‘melukut di tepi gantang’,” tambahnya.

PAS dan Umno merupakan rakan kerjasama dalam gabungan Muafakat Nasional. – Free Malaysia Today

Related Articles

Video
YouTube