29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Kemalangan LRT: Prasarana beri bantuan khas dan sokongan lain kepada semua mangsa – Tajuddin

Must read

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan memberikan bantuan khas RM1,000 dan bantuan sokongan lain kepada semua mangsa yang terlibat dalam insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC di sini, malam tadi.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau telah berbincang dengan pengurusan tertinggi syarikat mengenai perkara itu.

Beliau berkata seramai 213 penumpang terlibat dalam insiden tersebut dengan 64 daripadanya dikejarkan ke hospital, sementara enam daripadanya sangat kritikal termasuk tiga mangsa memerlukan bantuan pernafasan.

“Kita telah buat keputusan, Prasarana akan keluarkan bantuan khas kepada semua 213 penumpang ini, kita akan membantu dengan memberikan sebanyak RM1,000 setiap orang, tanpa mengira keadaan mereka sama ada serius atau tidak.

“Selain itu, kita akan beri bantuan khas kepada mangsa yang dimasukkan ke hospital, kos perubatan, rawatan sejak mula masuk sehinggalah pulih semula. Insya-Allah kita akan beri mereka bantuan perubatan,” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi insiden tersebut di sini, hari ini.

Dalam laporan media semalam, kejadian yang berlaku pada 8.45 malam itu, menyebabkan 47 penumpang parah manakala 166 lagi cedera ringan.

Selain itu, Tajuddin berkata Prasarana akan memberi bantuan sara hidup kepada mangsa yang kehilangan pendapatan akibat insiden itu sehingga mereka boleh bekerja semula seperti biasa.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa operasi perkhidmatan tren syarikat tersebut akan berjalan seperti biasa sambil memberi jaminan tren yang beroperasi tidak mempunyai sebarang masalah.

Katanya, dua tren yang terlibat dalam insiden berkenaan juga akan dibaiki dan dalam masa masa prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan LRT akan ditambah baik.

“Prasarana sangat berdukacita, sedih dengan apa yang berlaku. Ini tragedi, kemalangan di luar kawalan kita. Kita juga bersedia menerima tanggungjawab dan mohon maaf atas apa yang berlaku, tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mengurus semua perkara, termasuk keperluan untuk penumpang dan orang ramai, katanya.

Sementara itu, Prasarana dalam kenyataan memaklumkan syarikat itu telah melancarkan saluran khas di talian 014-7371330 dan e-mel [email protected] dan meminta penumpang terlibat menghubungi Prasarana secepat mungkin supaya urusan bantuan khas berkenaan boleh disegerakan.

Pada masa sama, syarikat juga memberi jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Siasatan yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak bersama-sama pasukan dan agensi di bawah kementerian.

“Pihak Prasarana juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyiasat insiden berkenaan di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” menurut kenyataan itu lagi.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kementerian akan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden pertembungan tren perkhidmatan LRT terbabit yang pertama kali berlaku di negara ini, sejak mula beroperasi, 23 tahun lalu.

Wee berkata laporan awal mengenai insiden itu akan dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini selain menjangkakan dalam tempoh dua minggu hasil siasatan oleh pasukan khas itu akan dikemukakan kepada kementerian. – BERNAMA

Related Articles

Video
YouTube