32 C
Gombak
Thursday, February 25, 2021

Kelewatan pendaftaran bukti Pejuang ancaman kepada PPBM dan Abah Kau, kata penganalisis

Must read

Kelewatan pendaftaran Pejuang sebagai parti politik rasmi selama empat bulan menunjukkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan parti barunya masih merupakan kekuatan politik yang berpengaruh, kata penganalisis.

Pakar sains politik, Wong Chin Huat dari Pusat Jeffrey Sachs mengenai Pembangunan Mampan berkata, wujud konflik kepentingan yang jelas dalam kelulusan pendaftaran Pejuang kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Jelas bahawa kerajaan masih takut akan Mahathir, yang juga pengasas PPBM yang dipecat. Beliau akan menjadi ancaman yang kuat dengan platform baru itu,” katanya kepada FMT.

James Chin daripada dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, Mahathir merupakan ikon politik yang popular, terutamanya dalam kalangan generasi tua di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, ini bukan kali pertama pendaftaran sesebuah parti ditangguhkan, dengan menyebut bahawa pendaftaran Parti Sosialis Malaysia (PSM) diluluskan hanya selepas 10 tahun.

“Pendaftaran parti politik merupakan proses yang sangat dipengaruhi politik kerana keputusan akhir terletak pada menteri dalam negeri (Hamzah Zainudin), bukan JPPM.

“Tiada tempoh masa diberikan dan kementerian boleh menangguhkan kelulusan permohonan selagi mereka mahu, terutama jika menteri tidak menyukai parti terbabit.

“Mereka menyedari bahawa mereka tidak dapat menghalang Mahathir daripada berkempen untuk menjadi sebahagian kerajaan, jadi mereka meletakkan halangan,” kata Chin.

Bagaimanapun beliau meramalkan bahawa Pejuang akan didaftarkan tidak lama lagi kerana parti terbabit bercadang membawa perkara berkenaan ke mahkamah.

“Mereka tidak bersedia melalui proses perbicaraan penuh kerana ia bermakna peguam boleh menyoal menteri.

“Saya tidak fikir beliau (Hamzah) mahu meletakkan sendirinya dalam keadaan sukar seperti itu,” katanya, dengan menambah bahawa “sekiranya kes itu dijadualkan esok, mereka akan mendaftarkan parti itu hari ini.”

Pada Khamis, Pejuang memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, dengan setiausaha penajanya Amiruddin Hamzah meminta parti itu didaftarkan dalam tempoh tujuh hari selepas keputusan mahkamah, menurut Seksyen 7 Akta Pertubuhan.

Dalam pada itu Wong berkata beliau tidak akan terkejut sekiranya Pejuang memutuskan untuk mengambil alih sebuah parti tidak aktif, seperti penubuhan PKR dan Amanah sebelum ini.

Seorang lagi penganalisis, bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, mustahil kerajaan akan “turun ke tahap yang begitu rendah” dengan menggunakan taktik melambat-lambatkan hanya untuk menghalang Pejuang mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang (PRU15).

“Saya tidak melihatnya sebagai strategi yang baik kerana secara tidak langsung kerajaan, atau PPBM dalam kes ini, menggambarkan Pejuang begitu kuat dan merupakan ancaman kepada PPBM.”

Beliau memberitahu FMT bahawa sebab paling munasabah bagi kelewatan itu ialah JPPM tidak berpuas hati dengan pindaan yang dihantar berhubung perlembagaan Pejuang.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa isu itu tidak harus timbul kerana PPBM juga diluluskan walaupun Barisan Nasional (BN) memerintah pada masa itu.

Pejuang pada mulanya ditubuhkan pada Ogos sebagai sebuah parti bMelayu selepas Mahathir dipecat daripada PPBM, yang turut ditubuhkannya.

Beliau berkata matlamat utama partinya adalah untuk memerangi rasuah.

Ahli pengasa Pejuang yang lain termasuk anak lelaki Mahathir dan Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz, Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh, Senator Marzuki Yahaya dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik.

Maszlee kemudiannya meninggalkan parti itu dan menjadi Ahli Parlimen bebas.

FMT
https://www.msn.com/en-my/news/berita/kelewatan-pendaftaran-bukti-pejuang-ancaman-kepada-ppbm-kata-penganalisis/ar-BB1bRFuC

Related Articles

Video
YouTube