28.6 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

Jho Low didakwa melobi AS supaya usir penentang China

Must read

Amerika Syarikat (AS) mengemukakan pertuduhan baru terhadap seorang pembiaya kewangan Malaysia dan seorang penyanyi rap negara itu kerana melobi pentadbiran Donald Trump supaya menghentikan siasatan skandal rasuah 1MDB serta mengusir seorang penentang China, kata Jabatan Kehakiman AS pada Jumaat.

Lobi “tidak berdaftar, pintu belakang” itu telah diarahkan oleh pembiaya kewangan buruan Malaysia Low Taek Jho dan naib menteri keselamatan awam China, kata DOJ.

“Low Taek Jho, 39, yang juga dikenali sebagai Jho Low, dan Prakazrel” Pras “Michel, 48, didakwa telah bersubahat … supaya siasatan penyelewengan 1MDB dan prosiding lucut hak yang melibatkan Low dan yang lain-lain digugurkan, serta berusaha supaya seorang penentang China dihantar pulang ke China,” kata kenyataan itu.

“Pertuduhan terhadap kedua-duanya dikemukakan melalui pendakwaan ganti oleh juri agung persekutuan di Daerah Columbia pada Khamis,” kata jabatan itu.

“Pertuduhan terhadap kedua-duanya dikemukakan melalui pendakwaan oleh juri agung persekutuan di Daerah Columbia pada Khamis,” kata jabatan itu.

Kedua-duanya dituduh bersubahat dengan pengumpul dana Republikan, Elliott Broidy, dan ahli perniagaan wanita Hawaii, Nickie Lum Davis, untuk terlibat dalam kempen melobi yang tidak didedahkan “masing-masing atas arahan Low dan Naib Menteri Keselamatan Awam Republik Rakyat China.”

Kenyataan DOJ tidak menyebut nama naib menteri keselamatan awam China itu.

Ia juga tidak menyebut nama penentang China yang dilobi oleh Low dan Michel dalam pentadbiran Trump dan pegawai keadilan AS supaya dihantar pulang ke China.

Namun, laporan berita pada tahun lalu termasuk The New York Times, menyatakan bahawa penentang China itu merupakan jutawan Guo Wengui, yang mahu mendapatkan suaka, dan beliau telah didakwa dengan pertuduhan rasuah di Beijing.

Low dan Michel telah melobi supaya siasatan penyelewengan wang 1MDB dan prosiding melucut hak digugurkan serta meminta supaya pengkritik Parti Komunis China itu dihantar pulang.

Low menghadapi pertuduhan jenayah di Malaysia dan AS kerana didakwa terlibat dalam penyelewengan berbilion dolar dari 1MDB iaitu dana pelaburan negara Malaysia melalui hubungannya dengan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang disabitkan kesalahan pada Julai lalu dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi pertuduhan berkaitan rasuah.

Penyanyi rap Michel, yang merupakan anggota kumpulan hip-hop Fugees, mahu membebaskan dirinya daripada pertuduhan itu, kata peguamnya Benjamin Brafman dalam satu kenyataan, menurut Bloomberg News. Menurut Bloomberg, Low dan Michel gagal dalam usaha ‘pintu belakang’ itu.

Low dan Michel didakwa pada Mei 2019 kerana bersubahat untuk menyalurkan wang Low sebagai sumbangan kempen presiden AS menjelang pilihan raya 2012.

Kedua-duanya didakwa cuba “membeli akses kepada, dan berpotensi mempengaruhi, seorang calon, kempen calon itu, dan pentadbiran calon itu,” menurut salinan pendakwaan pada 2019, tanpa menyatakan kempen calon mana yang disasarkan mereka.

“Low mengarahkan pemindahan kira-kira $21,600,000 dari entiti dan akaun asing kepada Michel bagi tujuan menyalurkan sejumlah besar wang ke dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat sebagai sumbangan yang kononnya sah, sambil menyembunyikan sumber sebenar wang itu,” kenyataan DOJ pada 2019 dalam pendakwaan itu.

“Untuk memudahkan penyaluran sumbangan besar itu dan menyembunyikan sumber sebenarnya, Michel membayar kira-kira $865,000 dari wang yang diterima daripada Low kepada kira-kira 20 penyumbang kecil, atau saluran, supaya penyumbang kecil itu dapat membuat sumbangan atas nama mereka kepada sebuah jawatankuasa pengumpul dana bersama presiden.”

Pengumpul dana Republikan, Broidy, yang didakwa melakukan kerjanya di bawah arahan Low, telah diberi pengampunan oleh Trump pada Januari setelah beliau mengaku bersalah pada Oktober lalu kerana bersubahat untuk melanggar undang-undang melobi asing.

Ahli perniagaan wanita, Lum Davis, yang didakwa melakukan tugasnya di bawah arahan naib menteri keselamatan awam China, pula mengaku bersalah pada Ogos lalu kerana melanggar undang-undang melobi asing.

Related Articles

Video
YouTube