28.6 C
Gombak
Friday, July 23, 2021

Jangan tunduk kepada muslihat, tipu daya musuh – Zahid

Must read

Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahlinya supaya “tidak tunduk” kepada muslihat dan tipu daya musuh yang mahu memecahbelahkan parti.

Dalam catatan di Facebook, beliau berkata propaganda pihak lawan tidak akan mengalih tumpuan parti untuk kembali bangkit malah semangat dan persiapan berdepan pilihan raya umum ke-15 akan terus mara dan membuak.

“Maka berhati-hatilah dengan percaturan dan propaganda lawan. Bijak menilai kelicikan musuh,” katanya tanpa memperincikan maksud sebenar “musuh parti” berkenaan.

“Tidak benar mereka mahukan yang terbaik untuk Umno. Awas kepada muslihat dan tipu daya. Umno tetap Umno. Pemimpin dan ahli akar umbi Umno yang tahu apa terbaik untuk parti,” katanya sambil menegaskan pimpinan dan jentera parti kekal fokus terhadap kerja-kerja memperkasakan parti.

Mengenai situasi semasa, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata barisan kepimpinan parti akan terus mengambil berat keadaan rakyat dan negara ketika semua masih bergelut untuk pulih daripada pandemik Covid-19.

“Berusaha semampu boleh untuk membantu walau dalam kapasiti yang terhad,” katanya.

Baru-baru ini penganalisis politik berpendapat perpecahan dalam Umno kepada tiga “puak” semakin jelas dan tidak lagi dapat dinafikan.

Ini susulan pendedahan Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz bahawa beliau sendiri berusaha mengumpulkan surat akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak yakin dengan Zahid, malah memberi mandat kepada Hishammuddin Hussein untuk menjadi jurucakap jika dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Tiga kumpulan yang berpecah itu dikatakan membabitkan kluster mahkamah, puak penyokong Hishammuddin bersama 16 Ahli Parlimen dan kelompok yang menyokong penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih popular dengan panggilan Ku Li.

Related Articles

Video
YouTube