31.6 C
Gombak
Saturday, April 17, 2021

Jangan api-apikan keputusan kalimah Allah, Upko beritahu pembangkang

Must read

Upko yang berpangkalan di Sabah menggesa parti pembangkang lain mengawal akar umbi mereka supaya tidak terus memburukkan lagi isu kalimah “Allah”.

Upko dalam kenyataan bersama kepimpinan parti itu berkata, parti pembangkang harus menghalang akar umbi mereka daripada menyerang parti pemerintah kerana terlalu “berlembut”, walaupun jika mereka turut mengalami serangan tidak adil sebelum ini.

“Pembangkang harus bersaing dengan kerajaan dalam isu berkaitan kesihatan, ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan lain-lain, tetapi jangan mendahului dalam isu perkauman dan agama,” kata parti itu.

Rabu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nor Bee Ariffin ketika membenarkan semakan kehakiman seorang penganut Kristian Sarawak berkata, arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 5 Dis 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baituallah”, “Solat” dan “Kaabah” oleh orang bukan Islam tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Susulan keputusan itu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, KDN akan membuat keputusan mengenai tindakan susulan isu itu selepas menerima hujah penghakiman bertulis daripada mahkamah.

Hamzah meminta semua pihak tidak membuat spekulasi atau tafsiran mengenai keputusan itu dan menghormati proses perundangan serta kehakiman negara.

PPBM, Umno dan PAS meminta Putrajaya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, tetapi ia mendapat bantahan organisasi Kristian serta pemimpin Sabah dan Sarawak yang berkata, kerajaan pusat tidak seharusnya merayu terhadap keputusan tersebut.

Dalam mengulangi gesaan supaya kerajaan tidak merayu keputusan itu, Upko berkata, penghakiman itu “bukan pencerobohan terhadap umat Islam seperti yang didakwa beberapa ahli politik Semenanjung”.

“Ini adalah pemulihan status quo pra-1986, sebahagian daripada janji ‘asal’ Malaysia kepada Sabah dan Sarawak pada 1963,” kata parti itu merujuk keputusan Kabinet Persekutuan pada 1986 melarang penggunaan kalimah “Allah “dalam penerbitan bukan Islam.

“Semua pihak perlu bersatu merebut peluang keemasan yang diberikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menutup babak buruk dalam permainan politik identiti di Malaysia.”

Upko juga meminta 56 Ahli Parlimen dari Sabah, Labuan dan Sarawak serta parti mereka bersatu mempertahankan pemulihan separa daripada janji “asal” Malaysia .

Tanpa mengambil kira mereka daripada blok pembangkang atau kerajaan, Upko berkata, parti yang berpusat di Borneo perlu bersedia memutuskan hubungan sekarang dan bahkan selepas pilihan raya umum akan datang dengan mana-mana parti yang mengapi-apikan ketidakpuasan masyarakat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

“Parti Borneo tidak boleh menerima orang Melayu anti-Borneo sebagai rakan kerajaan.

“Upko menggesa Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg mempelawa pemimpin tertinggi semua parti berpangkalan di Borneo untuk berbincang bagi membentuk barisan mempertahankan pemulihan separa kepada janji ‘asal’ Malaysia, jika penghasutan itu meningkat.”

Related Articles

Video
YouTube