23.7 C
Gombak
Sunday, August 1, 2021

Jangan Ambil Remeh Aduan Pekerja Dilarang WFH – Zahid

Must read

Majikan larang pekerja ‘Work from Home’ (WFH) atau Bekerja Dari Rumah (BDR) paling banyak diadukan kepada kerajaan dan daripada 4,267 aduan diterima setakat 1 Julai lalu, sebanyak 1,876 melibatkan perkara itu.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan aduan mengenainya jangan diambil remeh kerana sehingga 14 Jun 2021 telah ada 1,328 kluster tempat kerja.

“Kita harap majikan patuhilah penetapan WFH demi manfaat bersama. Garis panduan, pelbagai SOP (prosedur operasi standard) serta menghadkan jumlah pekerja hadir bekerja dititikberatkan.

“Ini bukan sahaja demi keselamatan anda dan warga kerja, malah keselamatan perniagaan anda.

“Kita faham setiap organisasi perniagaan mahu memaksimumkan tenaga kerja. Tetapi jika premis anda disahkan berlaku penularan wabak implikasinya jauh lebih teruk,” ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu perkongsian di Facebooknya.

Begitu juga Ahmad Zahid berpesan kepada golongan pekerja agar jangan mengambil kesempatan daripada WFH.

“Kita perlu jujur dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab selaku pekerja. Lagipun WFH sedikit sebanyak memberi kita lebih masa bersama keluarga.

“Juga menjimatkan kos harian kerana tidak perlu ke tempat kerja. Namun ada juga menyatakan WFH lebih mencabar berbanding bertugas di tempat kerja.

“Berusahalah menguruskan cabaran itu supaya tanggungjawab kepada organisasi tidak terabai,” katanya lagi.

Ulasnya juga, terdapat pandangan peningkatan kluster tempat kerja ekoran penyebaran virus melalui bawaan udara.

“WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) pernah menyatakan bangunan tertutup mempunyai pengudaraan tidak baik lebih berisiko merebak COVID-19.

“Kajian penyelidik universiti tempatan juga mendapati virus maut itu mampu terampai lama dalam udara.

“Mungkin perlu ada SOP khusus untuk membendung penularan melalui bawaan udara di tempat kerja,” sarannya. – UMNO ONLINE

Related Articles

Video
YouTube