28.6 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

Indonesia cadang vaksin Sinovac untuk kanak-kanak 12-17 tahun

Must read

JAKARTA: Agensi makanan dan ubatan Indonesia mencadangkan vaksin Covid-19 Sinovac Biotech buatan China diberikan kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun, kata pasukan petugas wabak negara itu.

Indonesia melaporkan peningkatan kes harian sehingga lebih 20,000 baru-baru ini selepas muncul pelbagai varian virus, selain pergerakan orang ramai ketika musim perayaan Aidilfitri telah mencetuskan gelombang jangkitan baharu.

Jurucakap pasukan petugas, Wiku Adisasmito ketika menyambut baik cadangan agensi perubatan dan makan (BPOM) berkata: “Kerajaan meminta orang ramai menunggu kelulusan BPOM.”

Ketua BPOM, Penny K Lukito, tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.

Indonesia menggunakan Sinovac sebagai vaksin utama dalam program vaksinasinya, selepas menerima 94 juta dos, selain kira-kira 10 juta vaksin AstraZeneca dan Sinopharm.

Data menunjukkan kanak-kanak berusia 0-18 tahun merangkumi 12.6% daripada keseluruhan kadar jangkitan Covid-19 Indonesia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Sinovac bulan ini setelah kajian menunjukkan ia menghalang jangkitan bergejala bagi 51% penerimanya, selain menghalang gejala teruk serta tempoh penjagaan hospital yang panjang.

Negara itu turut berdepan tekanan mempercepatkan proses vaksin susulan hospital di beberapa kawasan ‘zon merah’ dilaporkan melebihi kapasiti manakala 93% katil kuarantin penuh di Jakarta.

Indonesia melaporkan telah memberi 1.3 juta suntikan vaksin pada Sabtu, iaitu jumlah tertinggi direkodkan sejak program itu dimulakan pada Januari.

Data kerajaan menunjukkan kira-kira 13.18 juta orang telah menerima dua dos suntikan setakat Isnin.

Related Articles

Video
YouTube