29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Hentikan Intimidasi Terhadap Media, Gesa Kumpulan Pemantau

Must read

Polis Malaysia telah mengarahkan wartawan negara itu untuk tampil bagi merekodkan keterangan berkaitan artikel yang ditulis mereka sebanyak lima kali pada tahun ini, kata kumpulan pemerhati media pada Isnin yang menyifatkannya sebagai satu bentuk intimidasi dan merupakan perkembangan yang membimbangkan buat media di negara itu.

Dalam satu kenyataan bersama, Centre for Independent Journalism (CIJ), Gerakan Media Merdeka (Geramm), dan Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJM) menggesa supaya kerajaan berhenti mengancam untuk mengambil tindakan terhadap wartawan kerana penulisan yang dibuat atas kapasiti sebagai media, dan mendesak supaya rancangan penubuhan Majlis Media digerakkan.

“Media tidak seharusnya diarahkan menghadap kerajaan, atau diugut dengan tindakan kerana artikel yang mereka siarkan atas kapasiti sebagai media.

“Daripada mereka menjalankan siasatan ke atas wartawan, pihak berkuasa sepatutnya memberikan fokus mereka berhubung siasatan mengenai salahlaku polis. Gangguan ke atas wartawan kerana menjalankan tugas mereka dilihat sebagai satu taktik untuk menyekat kebebasan media,” kata kenyataan media oleh tiga kumpulan tersebut yang dikeluarkan pada Isnin.

Menurut mereka, dalam tempoh beberapa bulan sahaja pihak berkuasa telah memanggil wartawan dari beberapa organisasi media termasuk Malaysiakini, Astro Awani, Free Malaysia Today dan China Press untuk siasatan atas penulisan mereka.

Ini termasuk beberapa artikel ditulis Malaysiakini mengenai kematian seorang saspek dalam tahanan polis, dan laporan mereka mengenai kenyataan yang dibuat bekas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Seorang pembaca berita Astro Awani pula disiasat kerana satu kontroversi berita yang disampaikannya, manakala akhbar berbahasa Cina, The China Press dipanggil mengenai laporannya tentang kenyataan yang dibuat Timbalan Ketua Polis Negara mengenai satu kes ugutan rogol.

Selain itu, sebuah lagi portal berita Free Malaysia Today juga telah diancam saman oleh Ketua Polis Daerah Gombak mengenai dua artikel yang dikeluarkan media terbabit.

“Ia adalah satu corak yang merisaukan apabila melihat wartawan dipanggil pihak polis kerana laporan mereka. Tahun ini sahaja, kami melihat sekurang-kurangnya lima insiden di mana wartawan disoal dan disiasat. Ia membimbangkan kerana agensi media yang sama menjadi sasaran dan tahun ini sahaja, Malaysiakini telah dipanggil sekurang-kurangnya dua kali,” kata kenyataan itu.

CIJ, Geramm dan NUJM turut merujuk kepada kemelesetan kedudukan Malaysia di dalam Index Kebebasan Media Tahunan yang dikeluarkan Reporter Without Borders untuk tahun 2020, yang menyaksikan negara itu diletakkan pada tangga 119, turun 18 anak tangga berbanding kedudukan ke-101 pada tahun sebelumnya.

Media dan polis adalah dua entiti yang berinteraksi secara kerap dan hubungan itu boleh dikatakan sebagai simbiotik di mana kedua-dua pihak saling memerlukan, kata kumpulan itu sambil menambah bahawa media mempunyai peranan untuk melaporkan apa saja tuduhan menegani salahlaku kerajaan dan tidak sepatutnya dipanggil atau disiasat kerana menjalankan fungsi asasnya.

Tiga kumpulan berkenaan juga mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa menggalakkan media yang efektif serta terbuka dapat memperbaiki keadaan jangka panjang untuk kestabilan sosial, politik dan ekonomi negara.

“Mengekang ruangan media serta cubaan untuk menakutkan media ke arah menyenyapkan mereka adalah antara elemen negara yang menuju kegagalan.

“Kami ingin mengingatkan negara dan pemimpinnya bahawa mengalakkan media yang terbuka serta efektif dapat memperbaiki keadaan jangka panjang kestabilan sosial, politik dan ekonomi. Ini akan membantu hak untuk bertukar idea, pandangan dan maklumat yang akan membolehkan orang ramai membina pandangan mereka sendiri, serta membenarkan mereka untuk mengambil pendirian berlainan atau berlawanan.

“Ini pada akhirnya akan membantu mempromosikan pentadbiran yang baik serta meletakkan kebertanggungjawaban yang tinggi ke atas negara dan para pegawainya, yang mana merupakan ciri yang diharapkan dari sebuah negara demokrasi,” tambah kumpulan terbabit.

Dengan itu, tiga organisasi terbabit menggesa supaya kerajaan menghentikan amalan memanggil media kerana laporan berita mereka, menamatkan semua siasatan keatas media, dan memulakan siasatan bebas ke atas kemungkinan berlakunya salah tadbir kuasa oleh pihak berkuasa dalam tindakan mereka terhadap media.

Tiada kenyataan – KKMM

Mereka juga mahukan supaya kerajaan meneruskan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai sebuah badan yang telus dan bebas bagi mengawalselia industri media secara kendiri, bagi mengelakkan kerajaan menjadi satu-satunya penentu kebenaran serta menentukan apakah maklumat yang boleh disiarkan atau sebaliknya.

BenarNews telah menghubungi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), iaitu kementerian yang bertanggungjawab mengawalselia media di Malaysia, bagi mendapatkan maklumbalas, bagaimanapun diberitahu bahawa tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan oleh kementerian tersebut.

“Tiada kenyataan buat masa ini,” kata seorang jurucakap KKMM ketika dihubungi BenarNews.

Sementara itu, salah seorang ahli jawatankuasa pro-tem Majlis Media Malaysia mendedahkan bahawa usaha mereka untuk bertemu dengan menteri KKMM bagi membincangkan penubuhan badan itu setakat ini tidak berjaya.

Zaharom Nain, seorang pensyarah media di University of Nottingham, memberitahu BenarNews bahawa Menteri Saifuddin Abdullah telah tiga kali bersetuju menemui jawatankuasa itu namun membatalkannya di saat akhir.

“Kami telah berbincang selama beberapa jam dalam tempoh beberapa hari, dan telah membuat satu cadangan kepada menteri. Beliau sudah merancang untuk bertemu kami, tetapi selalunya membatalkan pada saat akhir dengan memberikan beberapa alasan, sehinggalah beliau dijangkiti COVID-19.

“Jadi itu sahaja setakat ini. Cadangan Majlis Media kini di tangan menteri ‘pintu belakang’ yang memilih untuk tidak berbuat apa-apa,” kata Zaharom.

Majlis Media Malaysia

Pada 2019, gabungan badan media dipanggil Journalists Alliance yang mewakili tujuh organisasi dan persatuan wartawan telah menghantar satu draf kertas cadangan Majlis Media Malaysia kepada kerajaan, yang ketika itu di bawah pimpinan Pakatan Harapan.

Tujuh organisasi berkenaan adalah NUJM, Geramm, Institute of Journalists Malaysia, Sabah Journalists Association, Federation of Sarawak Journalists Association, Kuching Division Journalist Association, dan Foreign Correspondents Club of Malaysia.

Mereka mencadangkan supaya Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dimansuhkan, dan digantikan dengan Akta Media yang memberi kuasa kepada majlis berkenaan untuk memantau dan menguruskan isu membabitkan industri media tempatan dengan turut mendesak supaya kerajaan bersetuju untuk tidak campur tangan dalam pengurusan media melainkan saranan secara jelas oleh Majlis Media.

“Dari sisi struktur Majlis Media, cadangan telah dibuat bagi pelantikan 13 anggota jawatankuasa merangkumi empat wakil penerbit media, empat wakil persatuan-persatuan wartawan, dan empat wakil awam (dengan bantuan masyarakat sivil). Kesemua 12 orang individu terbabit akan secara bersama melantik seorang pengerusi dari luar industri media bagi memantau perjalanan Majlis Media,” kata Journalists Alliance pada masa itu.

Related Articles

Video
YouTube