25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Hamas, Israel setuju gencatan senjata, PBB sambut baik

Must read

Gencatan senjata itu dipersetujui selepas 11 hari Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung dengan Mesir bertindak sebagai perantara. (Gambar AP)

GAZA: Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas dipersetujui pada 2 pagi Jumaat (2300GMT Khamis) dengan Mesir bertindak sebagai perantara.

Kabinet Keselamatan Israel meluluskan syor untuk menamatkan serangan di Semenanjung Gaza yang dikepung sejak 10 Mei dan bersetuju dengan gencatan senjata, lapor agensi Anadolu memetik laporan media.

Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri juga mengesahkan perkara itu.

Pesawat perang Israel masih melancarkan serangan di Semenanjung Gaza sejam sebelum gencatan senjata.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres menyambut baik gencatan senjata antara Gaza dan Israel pada Khamis dan mendesak semua pihak agar mematuhinya.

Gencatan senjata itu dipersetujui selepas 11 hari Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza yang dikepung. Mesir bertindak sebagai perantara.

Dalam kenyataan media, Guterres menyeru masyarakat antarabangsa bekerjasama dengan PBB bagi “membangunkan pakej sokongan bersepadu untuk pemulihan dan pembangunan segera dan berterusan serta menyokong rakyat Palestin dan memperkukuh institusi mereka.”

“Pemimpin Israel dan Palestin mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan keadaan secara aman dan memulakan dialog yang serius bagi mengatasi punca konflik,” kata Guterres.

“PBB akan bekerjasama dengan Israel dan Palestin, rakan kongsi antarabangsa dan serantau, termasuk melalui Kuartet Timur Tengah, untuk kembali ke meja rundingan bagi mengakhiri pendudukan dan kemungkinan untuk mewujudkan penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan sebelum 1967, resolusi PBB, undang-undang antarabangsa dan perjanjian bersama, ” kata Guterres.

Kuartet Timur Tengah terdiri PBB, AS, Kesatuan Eropah dan Rusia.

Britain pada Khamis turut menyambut baik gencatan senjata berkenaan.

“Mengalu-alukan gencatan senjata di Israel dan Gaza,” tulis Setiausaha Luar Dominic Raab di Twitter.

“Semua pihak harus mematuhi dan memastikan gencatan senjata itu berpanjangan dan dapat mengakhiri keganasan serta mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.”

“UK sentiasa menyokong usaha untuk berdamai,” tambahnya.

Sejumlah 232 penduduk Palestin, termasuk 65 kanak-kanak dan 39 wanita, terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 10 Mei.

Related Articles

Video
YouTube