26.4 C
Gombak
Friday, July 30, 2021

Hafizh terkejut KIP umum mahu bersara

Must read

Keputusan pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi (KIP) untuk bersara daripada sukan permotoran adalah perkara di luar jangka kerana beliau masih berpotensi untuk pergi lebih jauh di pentas antarabangsa.

Rakan seperjuangan yang juga pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah berkata agak terkejut dengan keputusan dibuat pelumba berusia 22 tahun yang pernah menjuarai kategori Moto3 bersama pasukan Honda Team Asia pada Grand Prix (GP) Argentina dan GP Jerman pada 2016.

“Bagi saya, keputusan KIP untuk bersara memberi sedikit kesan kepada sukan permotoran negara, termasuk keluarga beliau sendiri yang mahu melihat beliau berjaya (dalam karier permotoran).

“Beliau seorang pelumba yang berbakat, dan senang menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hafizh Syahrin yang sah mewakili pasukan NTS RW Racing GP musim depan berkata kecederaan jari kelengkeng dialami Khairul Idham atau dikenali dengan nama julukan Super KIP pada musim lepas adalah salah satu sebab menyukarkan pelumba itu kembali kepada prestasi asalnya.

KIP pernah menjalani pembedahan di jari kelengkeng pada Ogos 2019 selepas terlibat dalam kemalangan pada sesi latihan bebas GP Sepanyol dan mengambil keputusan memotong sebahagian daripada jari berkenaan Ogos tahun ini di Barcelona, Sepanyol setelah kecederaan jarinya bertambah teruk susulan kemalangan ketika menyertai GP Republik Czech.

Baru-baru ini, Khairul Idham mengejutkan sukan tanah air apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan permotoran selepas khidmatnya tidak disambung oleh Petronas Sprinta Racing pada musim hadapan.

Beliau gagal meraih sebarang mata dalam 13 perlumbaan Moto3 yang disertai pada musim ini bersama pasukan Petronas Sprinta Racing. — Bernama

Related Articles

Video
YouTube