27.3 C
Gombak
Thursday, July 29, 2021

Hadi mohon menghadap Sultan Perak, bincang ‘suasana politik’

Must read

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang memohon menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, demikian menurut surat yang dilihat FMT.

Difahamkan, permohonan menghadap itu bertujuan memaklumkan kedudukan PAS berhubung krisis politik di negeri itu, dengan tarikh dan masa diserahkan kepada budi bicara Sultan Nazrin.

“Saya bersedia menghadap pada tarikh, masa dan tempat yang diperkenankan tuanku,” kata Ahli Parlimen Marang itu dalam surat bertarikh 10 Dis itu.

FMT sedang mendapatkan pengesahan daripada pegawai Hadi dan pemimpin PAS lain, termasuk Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berhubung tarikh menghadap.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dilaporkan berkata, pelantikan EXCO daripada PAS dalam kerajaan negeri hanya akan dimuktamadkan Sultan Nazrin.

Ketua Umno negeri itu berkata, pihaknya hanya boleh mencadangkan nama EXCO mengikut kesesuaian, tetapi hak memperkenankan pelantikan itu terletak pada kuasa mutlak Sultan Perak.

Semalam, seorang ADUN PPBM dan empat wakil rakyat UMNO mengangkat sumpah sebagai Exco Perak yang baru.

PAS mempunyai tiga ADUN di Perak. Dua daripadanya pernah dilantik sebagai EXCO di bawah kerajaan negeri pimpinan Ahmad Faizal Azumu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria semalam yakin parti itu tidak akan ditinggalkan dalam pelantikan EXCO negeri yang baru.

PAS kini menyokong pelantikan Saarani sebagai menteri besar, walaupun sebelum ini berkata ia tidak mahu terlibat dalam pembentukan kerajaan baharu setelah Faizal terpaksa meletak jawatan minggu lalu.

Malah PAS Pusat sebelum ini mengarahkan tiga adunnya di Perak untuk membatalkan menghadap Sultan Nazrin ketika kemelut kepimpinan negeri itu berterusan susulan peletakan jawatan Faizal pada 5 Dis.

Beliau yang juga timbalan presiden PPBM terpaksa berbuat demikian setelah gagal memperolehi undi mencukupi dalam usul kepercayaan terhadapnya di Dewan Undangan Negeri.

Rujukan:
PAS Perak mohon ampun kepada Sultan Perak
https://malaysiannow.com/pas-perak-mohon-ampun-kepada-sultan-perak/

Lantikan Exco Perak dari PAS terserah kepada perkenan Sultan Perak, kata Saarani
https://malaysiannow.com/lantikan-exco-perak-dari-pas-terserah-kepada-perkenan-sultan-perak-kata-saarani/

Related Articles

Video
YouTube