27.3 C
Gombak
Wednesday, May 12, 2021

Graduan baharu layak dapat gaji lebih bermaruah, kata Ahli Parlimen

Must read

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, graduan baharu layak mendapat gaji permulaan lebih baik dan bermaruah ketika memasuki pasaran pekerjaan.

Beliau menggesa perbincangan mengenai pengangguran belia dan gaji permulaan lebih baik untuk graduan baharu diadakan kerana dua masalah itu bukan disebabkan pandemik Covid-19, tetapi isu sistemik yang memerlukan tindakan segera.

Memetik data Kementerian Pengajian Tinggi, Nik Nazmi berkata, kebanyakan graduan baharu mendapat antara RM2,001 dan RM2,500 dari 2014 hingga 2019, dengan gaji tertinggi adalah RM3,001 hingga RM5,000 pada 2015.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan graduan baharu hanya meraih RM1,001 hingga RM1,500 sebulan tahun lalu.

“Kita tidak boleh minta graduan bersyukur untuk menafikan kewujudan masalah ini.

“Dengan peningkatan kos sara hidup, kadar permulaan gaji yang baik merupakan hal yang penting. Kita sepatutnya berusaha memberikan gaji bermaruah kepada graduan.

“Mereka telah melalui proses pendidikan formal yang panjang, dan kebanyakan mereka keluar dengan hutang pendidikan. Mereka baru sahaja memulakan kehidupan dewasa, ia proses yang memerlukan seseorang itu mempunyai gaji bermaruah,” katanya dalam Facebook.

Nik Nazmi, yang juga jurucakap Parlimen PKR bagi pendidikan, berkata Parlimen adalah platform terbaik untuk berbahas dan membincangkan gaji graduan memandangkan tiada khabar langsung mengenai apa yang dilakukan Majlis Pekerjaan Negara yang diumumkan penubuhannya Disember lalu.

Katanya, memberi gaji lebih baik kepada graduan baharu akan memastikan produktiviti dapat ditingkatkan dan merangsang ekonomi.

Pada 3 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, gaji permulaan untuk graduan baharu ketika memasuki pasaran pekerjaan dijangka tinggi dalam tiga hingga empat bulan lagi dengan ekonomi negara yang semakin pulih.

Beliau berkata, kerajaan menyedari gaji yang diterima graduan baharu tahun lalu adalah rendah akibat situasi semasa Covid-19 yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara dan dunia.

Related Articles

Video
YouTube