26.4 C
Gombak
Friday, July 30, 2021

Fitch Ratings jatuh, Guan Eng desak PM benar usul undi tak percaya

Must read

Lim Guan Eng mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membenarkan usul undi tidak percaya dibentangkan di Parlimen bagi menangani kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik yang ditimbulkan Fitch Ratings dalam laporan terbarunya.

Setiausaha Agung DAP berkata, penggulingan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini oleh Umno, sekutu PPBM dalam Perikatan Nasional (PN), menyerlahkan majoriti tipis Muhyiddin di Parlimen sebagai penyebab ketidakstabilan politik.

Katanya, keengganan Muhyiddin membenarkan usul tidak percaya hanya menunjukkan perdana menteri itu takut kehilangan majoriti di Parlimen, sambil menambah ketidaktentuan politik hanya akan merosakkan keyakinan pelabur.

“Sebarang kelewatan hanya akan mengekalkan budaya politik toksik semasa mengorbankan kepentingan nasional untuk survival peribadi yang mementingkan diri sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mendesak Putrajaya bekerjasama dengan semua parti politik untuk menyelesaikan krisis politik dan ekonomi sekali gus memperoleh semula penarafan A-, menggambarkan penurunan itu sebagai “undi tidak percaya pada prestasi ekonomi PN”.

“Ini adalah ‘wake-up call’ bagi kerajaan PN untuk melakukan perubahan struktur politik dan ekonomi yang mendesak.

“Kecuali PN berusaha untuk bersatu dan bekerjasama memberikan kepastian, kejelasan dan konsistensi terhadap dasar politik dan ekonomi kita, prospek Malaysia tidak akan cerah dan kajian meramalkan risiko penurunan masa depan,” katanya.

Minggu lalu, agensi penarafan kredit AS Fitch Ratings mengumumkan penurunan penarafan ke atas Malaysia daripada A- kepada BBB+, dengan prospek bertambah baik daripada negatif kepada stabil.

Related Articles

Video
YouTube