25.7 C
Gombak
Saturday, May 15, 2021

Firefly mula operasi pesawat jet awal tahun hadapan

Must read

Syarikat penerbangan komuniti, Firefly akan memulakan operasi pesawat berkuasa jet bermula awal tahun hadapan.

Susulan itu, syarikat penerbangan itu akan menambah 10 pesawat jet berbadan sempit secara berperingkat mulai suku pertama 2021.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail, berkata pertambahan itu bagi membolehkan anak syarikatnya itu mempertingkatkan penerbangan domestik, ASEAN dan Asia Pasifik dari pangkalan barunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Beliau berkata, penyediaan operasi pangkalan Firefly di Pulau Pinang itu akan memerlukan pelaburan minimum oleh MAG pada 2021, dengan jangkaan peningkatan pengeluaran serta kapasiti tempat duduk setiap kilometer (ASK) sebanyak 36 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berdasarkan jangkaan kami ketika ini katanya, perjalanan domestik dan jarak dekat antara yang mendapat permintaan tinggi ketika ini sekali gus memenuhi permintaan yang semakin meningkat dari wilayah utara.

Katanya, ini juga sejajar dengan peningkatan Rancangan Perniagaan Jangka Panjang Kumpulan (LTBP 2.0) yang telah diselaraskan semula agar sesuai dengan situasi dan persekitaran pasca COVID-19.

Pada masa yang sama juga katanya, kumpulan akan memberi fokus pada pengukuhan aliran pendapatan anak syarikatnya.

“Dengan rancangan ini, Firefly akan menjadi pelengkap syarikat bersekutunya, Malaysia Airlines Bhd dalam melayani pasaran riadah disamping mempelbagaikan laluan yang menghubungkan bandar di Malaysia dengan Sabah, Sarawak, Thailand, Indonesia dan Singapura.

“Ini akan memanfaatkan sumber dan bakat yang ada dalam MAG, dengan kemungkinan akan menggunakan pesawat Boeing 737-800 dari Malaysia Airlines.

“Ini memberi ruang kepada Malaysia Airlines fokus pada rangkaian pasaran premiumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See, berkata pasaran global telah berubah sejak pandemik COVID-19 melanda dan sebagai syarikat penerbangan perlu menerapkan perubahan tersebut dan menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran.

Beliau berkata, Firefly bersedia memikul cabaran itu, melihat kepada potensi yang kukuh dalam strategi dual hab ini, disamping mempertahankannya perkhidmatan pesawat kuasa kipas atau ‘turbo propeller’ dari Subang Skypark.

“Dengan operasi pesawat yang baru, Firefly akan menawarkan konsep perkhidmatan yang fleksibel dengan pembaharuan produk sesuai dengan pelanggan,” katanya.

Penumpang Firefly akan terus menikmati keistimewaan dan perkhidmatan seperti syarikat penerbangan premium termasuk bagasi 20 kilogram percuma serta peluang untuk memperoleh dan menebus Enrich.

Related Articles

Video
YouTube