29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Enam penumpang nahas tren LRT kritikal, alami pendarahan otak, patah tulang

Must read

Enam daripada lebih 200 mangsa yang cedera dalam insiden pertembungan dua tren bandar – Transit Aliran Ringan (LRT) di ibukota Kuala Lumpur pada Isnin, berada dalam keadaan kritikal, dengan tiga daripadanya sedang dirawat di unit rawatan rapi, demikian disahkan oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia.

Susulan insiden tersebut, Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM) Ajit Jothi mendesak Tajuddin Abdul Rahman, Pengerusi Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), meletak jawatan atau dipecat dengan serta merta berikutan kegagalan beliau turun padang selepas kemalangan berlaku.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pula memberitahu siasatan awal yang dijalankan kementerian tersebut mendapati adanya elemen kecuaian pemandu dalam kejadian kemalangan paling buruk pertama melibatkan perkhidmatan LRT bandaraya Kuala Lumpur itu.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur Heric Corray berkata tiga daripada mangsa yang kritikal ditempatkan dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tiga lagi di wad biasa.

“Tiga di wad Unit Rawatan Rapi di mana dua mengalami pendarahan otak dan sudahpun dibedah manakala seorang lagi turut mengalami kecederaan parah tetapi tidak perlu menjalani pembedahan. Selain daripada itu, tiga lagi ditempatkan di unit rawatan biasa dan mengalami kecederaan seperti patah tulang serta kecederaan di bahagian dada dan tangan,” kata Corray semasa satu sidang media bersama Wee pada petang Selasa.

Dalam kejadian malam Isnin itu, 47 penumpang tren mengalami kecederaan parah manakala 166 lagi cedera ringan selepas tren membawa penumpang bertembung dengan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

Wee berkata, laporan awal yang disediakan pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), mendapati wujud elemen kecuaian pemandu membabitkan tren bernombor 40 yang dipandu bertentangan arah.

“Tren 40 yang sepatutnya bergerak ke arah selatan menuju ke Stesen Dang Wangi telah bergerak ke arah utara, iaitu arah bertentangan, sekaligus mengakibatkan pertembungan dengan dengan Tren 81 yang beroperasi secara automatik pada jam 8.33 malam,” tambah beliau.

Ujarnya lagi, Tren 40 bergerak dari Gombak ke Depot Subang arah selatan dan mengalami masalah teknikal menyebabkan ia terhenti semasa menghampiri platform Stesen Kampung Baru.

“Pusat Kawalan Operasi (OCC) kemudian mengenalpasti kedudukan Tren 40 dan mengarahkan pemandu (hostler) untuk memandu secara manual dari Stesen Kampung Baru menuju ke Stesen Dang Wangi dan perlu bergerak ke arah yang sama bagi memberi laluan kepada tren lain untuk meneruskan perjalanan.

“Pada masa sama, Tren 81 yang beroperasi secara automatik berada dalam keadaan statik di platform Stesen KLCC arah selatan dan berlepas dari Stesen KLCC ke Stesen Kampung Baru setelah menerima maklumat bahawa Tren 40 telah beredar dari Stesen Kampung Baru menuju ke Stesen Dang Wangi pada jam 8.24 malam,” katanya.

Bagaimanapun, Wee berkata Tren 40 yang sepatutnya bergerak ke arah selatan, telah bergerak ke arah bertentangan sekaligus mengakibatkan perlanggaran berlaku dengan Tren 81 yang membawa 213 penumpang.

Wee turut mengumumkan pemandu tren yang terlibat digantung daripada tugas pengoperasian sehingga siasatan selesai.

Sementara itu, ujian saringan air kencing terhadap pemandu tren berumur 32 tahun yang didakwa memandu bertentangan arah sehingga menyebabkan kemalangan berhampiran Stesen KLCC itu, didapati negatif dadah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah berkata pemandu tersebut telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 5 petang atas arahan pihak polis.

“Kita telah panggil pemandu untuk ujian saringan air kencing dan didapati adalah negatif dadah,” lapor akhbar Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya polis hanya akan merakam kenyataan pemandu tersebut kemudian.

Desak letak jawatan

Dalam pada itu, Ajit mendesak Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak yang mewakili Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) meletak jawatan atau dipecat dengan serta merta berikutan kegagalannya untuk turun padang selepas berlakunya kemalangan tersebut.

“4PAM mendesak Pengerusi Prasarana dipecat atau ditamatkan perkhidmatan dengan serta merta kerana gagal mengeluarkan sebarang kenyataan atau melawat lokasi kejadian salah satu bencana pengangkutan awam terburuk negara. Ini tidak sama sekali menghormati keselamatan dan kebajikan penumpang.”

“Kami mahu Prasarana memberi jaminan semua rawatan mangsa yang cedera diberikan keutamaan teratas dan semua penumpang diberikan pampasan yang sewajarnya. Ini adalah isu yang sangat serius, 4PAM telah bersuara mengenai isu keselamatan penumpang pengangkutan awam sejak tujuh tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tajuddin bagaimanapun memberitahu pemberita dalam satu sidang media bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan sambil turut meluahkan rasa tidak senang terhadap isu yang dibangkitkan.

“Saya petang itu baru habis tugasan syarikat di Subang. Saya pun dapat tahu lambat apa yang berlaku. Jadi pada masa itu, saya pun dah bersedia untuk divaksinasi hari ini (Selasa). I’m going to have my second dose today, you know? (Saya sepatutnya mendapat dos kedua hari ini, awak tahu tak? Walau macamanapun bila saya dapat tahu dah lewat, I made up my mind that I will come first thing in the morning (Saya telah membuat keputusan untuk datang awal-awal pagi),” kata Tajuddin.

Beliau turut bertanyakan kepada media jika mereka tahu maksud “first thing in the morning” sebelum berkata ianya menunjukkan bahawa beliau mengambil serius terhadap apa yang berlaku.

“Jadi pagi-pagi saya dah turun masuk dalam terowong semua. Janganlah cuba nak memprovokasi. Semalam pun Menteri dah turun, CEO kumpulan pun dah turun,” kata beliau kepada pemberita.

Tajuddin dalam sidang media yang sama turut mengumumkan syarikat itu akan memberikan bantuan khas berjumlah RM1,000 (AS$241.40) setiap seorang bagi kesemua 213 mangsa yang terlibat selain bantuan khas kepada mangsa yang dimasukkan ke hospital termasuk menanggung kos perubatan, rawatan susulan dan sebagainya, sejak mula masuk hingga pulih semula.

Pertingkat prosedur elak kesilapan

Mengulas kejadian kemalangan itu, seorang penyelidik bebas pengangkutan awam menyifatkan insiden pertembungan dua tren LRT itu sebagai kejadian yang serius.

SM Sabri SM Ismail memaklumkan BenarNews yang RapidKL, anak syarikat Prasarana pengendali perkhidmatan LRT metro perlu menambahbaik prosedur dan sistem sedia ada bagi mengelakkan kejadian daripada berulang.

“Insiden kemalangan ini adalah sesuatu yang serius dan RapidKL perlu menambahbaik prosedur mereka dan mungkin juga sistem sedia ada bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang lagi,” ujarnya yang pernah berkhidmat selama 20 tahun dengan kumpulan Prasarana.

Beliau berkata Jawatankuasa Siasatan yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan mempunyai tanggungjawab yang besar bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan menyarankan langkah-langkah penambahbaikan.

“Sama seperti ACI (Siasatan Kemalangan Udara), objektif Jawatankuasa Siasatan bukan bertujuan mencari kambing hitam atau menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi untuk mengenalpasti fakta ke atas apa yang telah berlaku dan menyarankan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang,” jelasnya.

Beliau berkata sepertimana ACI, jawatankuasa siasatan perlu meneliti semua log FDR (Perakam Data Penerbangan), log CVR (Perakam Suara Kokpit) dan juga bukti-bukti lain dalam menyiapkan laporan mereka.

“Semua arahan rasmi di Kelana Jaya (Pusat Kawalan) dibuat melalui menerusi suara menerusi radio dan ia dirakam. Semua log ini perlu diteliti. Adakah arahan yang diberikan tidak jelas? Adakah pemandu mendengar arahan dengan jelas dan mengulangi arahan dengan betul? Apakah berlaku gangguan radio?”

Sabri berkata walaupun sistem sedia ada telah melalui proses penambahbaikan sejak ianya, perhatian perlu diberikan kepada prosedur manual bagi mengelakkan kecuaian manusia.

“Apakah wujud elemen kecuaian manusia? Adakah wujud kekurangan dalam prosedur manual yang perlu diperbaiki dan adakah kedua-dua pihak perlu dipersalahkan?” ujarnya lagi.

Related Articles

Video
YouTube