25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Dua tren bandar Transit Aliran Ringan bertembung, 47 cedera parah

Must read

Lebih 40 orang cedera parah manakala 166 lagi mengalami cedera ringan apabila sebuah tren bandar – Transit Aliran Ringan (LRT) yang sarat dengan penumpang bertembung dengan sebuah lagi tren tanpa penumpang dalam laluan terowong bawah tanah pada petang Isnin di ibukota Kuala Lumpur menurut pihak berkuasa Malaysia.

Kemalangan itu disifatkan terburuk dan pertama melibatkan pertembungan tren aliran ringan yang dikendalikan oleh Syarikat Prasarana Malaysia Berhad, di mana sebuah tren dengan 213 penumpang bertembung dengan tren rosak yang sedang dipandu uji di sebuah seksyen laluan bawah tanah antara Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Kampung Baru pada kira-kira pukul 8.45 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisoner Mohamad Zainal Abdullah berkata siasatan awal mendapati kejadian melibatkan dua koc tren LRT laluan Kelana Jaya itu berkemungkinan berlaku akibat kesilapan komunikasi dari pusat kawalan.

“Kejadian berlaku di antara stesen Kampung Baru dan stesen KLCC dengan pemandu Koc daripada stesen KLCC tidak dapat “Detect” koc daripada Kampung Baru kerana berlaku “miscommunication” daripada pusat kawalan,” katanya kepada media berdekatan laluan masuk stesen bawah tanah Menara Berkembar Petronas di KLCC.

Menurutnya, semua penumpang berjaya dikeluarkan dari tren pada jam 9.50 malam dan telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital berdekatan untuk rawatan.

Sementara itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan supaya siasatan dijalankan segera bagi mengenalpasti punca kemalangan.

“Saya memandang serius kemalangan ini dan telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenalpasti punca kemalangan ini, dan tindakan yang tegas harus diambil dengan segera.

“Keutamaan sekarang harus diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan, dan saya telah mengarahkan semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan mangsa mendapat rawatan yang menyeluruh memandangkan kita juga berada dalam gelombang pandemik COVID-19 yang sedang meningkat naik,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan empat puluh tujuh penumpang mengalami kecederaan parah dan 166 penumpang cedera ringan.

“Kesemua 47 mangsa yang cedera parah telah dikejarkan ke hospital,” tambah beliau di lokasi kejadian.

Wee kemudian telah mengumumkan satu Jawatankuasa Siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat punca kemalangan dan menyiapkan laporan penuh dalam tempoh dua minggu.

“Jawatankuasa Siasatan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak bersama pasukan dalam Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan agensi-agensi di bawahnya. Pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pula akan menyediakan laporan teknikal siasatan,” tambah Wee.

Menteri itu turut meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung kejadian tersebut manakala hasil siasatan terperinci secara menyeluruh akan diumumkan kelak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2012 kerana membahayakan keselamatan awam.

Sementara itu, laporan awal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menunjukkan tren yang membawa penunpang bergerak pada kelajuan 25 batu sejam selepas bertolak dari stesen KLCC manakala tren yang tidak membawa penumpang yang sedang dalam proses ujian, bergerak pada kelajuan 12 batu sejam apabila pertembungan berlaku.

“Operasi mengeluarkan mangsa agak kritikal kerana bilangan mangsa yang ramai dan pelanggaran yang berlaku di dalam terowong bawah tanah yang sempit dan menyukarkan mangsa untuk dikeluarkan melalui laluan kecemasan yang sempit.

“Koordinasi dengan pengendali tren penting untuk mengelakkan risiko renjatan elektrik di samping gangguan daripada lain-lain tren,” menurut laporan yang dilihat oleh BenarNews.

Laluan Kelana Jaya adalah perkhidmatan tren aliran ringan tertua di Malaysia yang telah memulakan operasi pada 1998, sebagai sebahagian daripada persediaan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah temasya Sukan Komenwel ke-16 pada tahun berkenaan.

Ia juga merupakan perkhidmatan tren bawah tanah pertama di negara itu dengan lima stesen bawah tanah termasuk satu terletak di bawah Menara Berkembar Petronas di KLCC, salah satu stesten paling sibuk di dalam laluan berkenaan.

Hospital swasta sedia bantu

Dalam pada itu, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menerusi presidennya Kuljit Singh memaklumkan BenarNews bahawa pusat perubatan swasta di sekitar Kuala Lumpur bersedia untuk menerima para penumpang yang cedera.

“Saya sedia maklum tentang kejadian ini dan semua hospital swasta sedang dalam keadaan bersedia dengan menunggu arahan seterusnya daripada Kementerian Kesihatan,” katanya.

Dijangkakan sebahagian daripada mangsa akan dipindahkan ke hospital swasta memandangkan Hospital Kuala Lumpur yang biasanya mengendalikan kes-kes kecemasan seperti ini, sedang bergelut menangani pandemik COVID-19 yang menyebabkan bilangan katil di Wad Unit Jagaan Rapi amat terhad.

Setakat ini belum dapat disahkan berapa ramai mangsa yang akan dipindahkan ke pusat perubatan swasta.

Pada September 2020, seorang penumpang cedera apabila sebuah tren antara-bandar bergesel dengan tren komuter berhampiran stesten Kuang, lebih kurang 16 batu dari Kuala Lumpur.

Perkhidmatan tren metro bandaraya Kuala Lumpur dikendalikan oleh Rapid Rail, salah sebuah anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad yang dimiliki penuh oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan sebagai usaha menggerakkan agenda transformasi sistem pengangkutan awam negara itu.

Related Articles

Video
YouTube