26.6 C
Gombak
Saturday, May 15, 2021

Dua laporan polis terhadap ADUN DAP, Young Syefura

Must read

Sepang: Polis menerima dua laporan polis ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman berhubung penyebaran gambar perkelahan yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, laporan polis itu dibuat seorang lelaki pada jam 6.50 petang semalam.

Menurutnya, pengadu melihat Instagram Adun itu dan mendapati sembilan gambar yang baru saja dimuatnaik di Pantai Bagan Lalang.

“Pengadu mengatakan kejadian membabitkan ahli politik ini bukan kali pertama dan ia berulang hinggakan rakyat menjadi marah kerana tiada apa-apa tindakan diambil sedangkan apabila rakyat biasa yang melanggar SOP tindakan serta-merta dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadzil berkata, keseluruhan terdapat dua laporan polis yang dibuat ke atas Adun terbabit di Sepang.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Gambar perkelahan Adun dari DAP itu menerima pelbagai reaksi selepas ia dimuat naik ke Instagram, memaparkan beliau bersama empat yang lain berkelah di pantai di Bagan Lalang, Sepang.

Kelmarin, media melaporkan Young Syefura memohon maaf selepas netizen menuduhnya melanggar SOP PKPB yang berkuat kuasa di Selangor.

Bagaimanapun, gambar itu kemudian dipadamkan selepas ia tular di media sosial dan menerima desakan sebilangan netizen supaya Young Syefura untuk meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Young Syefura juga menjelaskan, walaupun berkhidmat sebagai Adun di Pahang tetapi beliau bermastautin di Selangor.

Pelaksanaan PKPB di Selangor bermula pada 14 Oktober lalu melarang pergerakan antara negeri dan daerah kecuali untuk kerja dan kecemasan.

Turut dilarang ialah aktiviti berkelah berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain aktiviti pelancongan membabitkan perjalanan masuk dan keluar dari kawasan PKPB.

Rujukan:
Wakil rakyat DAP rela disiasat jika langgar SOP PKPB
https://malaysiannow.com/wakil-rakyat-dap-rela-disiasat-jika-langgar-sop-pkpb/

Related Articles

Video
YouTube