29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Demokrat AS tawar resolusi sekat penjualan senjata USD735 juta kepada Israel

Must read

Tentera Israel melancarkan peluru terhadap sasaran di Semenanjung Gaza di sempadan Israel-Gaza semalam. (Gambar AP)

WASHINGTON: Ahli Kongres Demokrat semalam memperkenalkan resolusi menyekat penjualan senjata berpandu ketepatan bernilai USD735 juta kepada Israel, sebagai tindak balas simbolik terhadap konflik antara Israel dan kumpulan Hamas yang berkuasa di Gaza.

Alexandria Ocasio-Cortez, Mark Pocan dan Rashida Tlaib adalah penaja utama resolusi berkenaan, yang mempunyai sekurang-kurangnya enam penaja lain termasuk beberapa ahli Demokrat berhaluan kiri.

Mereka adalah antara Ahli Kongres yang menyeru usaha lebih bersepadu daripada AS untuk menghentikan keganasan, termasuk serangan udara Israel yang telah membunuh puluhan orang awam, kebanyakannya rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang terkepung.

Pentadbiran Presiden Joe Biden, yang juga ahli Demokrat, meluluskan penjualan berpotensi senjata bernilai USD735 juta kepada Israel awal tahun ini.

Ahli Kongres mempunyai 15 hari selepas ia dihantar ke Dewan pada 5 Mei untuk membantahnya berdasarkan undang-undang yang mentadbir penjualan senjata kepada kuasa asing.

“Di ketika begitu ramai menyokong gencatan senjata, termasuk Presiden Biden, kita tidak sepatutnya menghantar senjata ‘serangan langsung’ kepada Perdana Menteri (Benjamin) Netanyahu untuk memanjangkan keganasan,” kata Ocasio-Cortez dalam kenyataan.

Resolusi ini mungkin tidak akan melepasi Dewan Perwakilan, di mana Speaker Nancy Pelosi mengawal undang-undang mana yang akan diundi.

Para pemimpin Dewan telah menyatakan sokongan terhadap penjualan senjata berkenaan, seperti yang dizahirkan oleh Ketua Majoriti Steny Hoyer kepada media semalam.

Penjualan senjata yang dibuat oleh Boeing Co ini dianggap rutin pada masa itu, sebelum bermulanya krisis paling sengit di rantau itu dalam tempoh beberapa tahun.

Ahli Kongres dari Republikan dan Demokrat secara amnya menyokong Israel, negara asing yang menerima bantuan terbesar daripada AS sejak Perang Dunia Kedua.

Pada masa ini, Washington menyumbangkan USD3.8 bilion setahun dalam bantuan ketenteraan kepada Israel.

Related Articles

Video
YouTube