25.3 C
Gombak
Monday, June 21, 2021

Cukai: Anak Najib Razak Terima Notis Muflis LHDN

Must read

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah menyerahkan notis muflis kepada anak bekas Perdana Menteri Najib Razak, kerana didakwa gagal membayar cukai berjumlah lebih RM37 juta (AS$9 juta). Penyerahan itu yang dibuat hanya beberapa minggu selepas Najib diberi notis serupa, didedahkan ketika satu prosiding mahkamah pada Selasa.

Nazifuddin Najib, anak lelaki ahli politik berkenaan, dikatakan telah gagal melunaskan bayaran cukai seperti diarahkan oleh sebuah Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu.

Peguamnya Wee Yeong Kang bagaimanapun berkata Nazifuddin telah memfailkan afidavit bagi menentang notis kebankranpan tersebut, dan akan membuat satu permohonan bagi mengenepikannya serta satu lagi permohonan penangguhan terhadap prosiding bankrapsi terhadap anak guamnya.

“Notis muflis itu telah diserahkan pada 30 April lepas. Kita telah memfailkan afidavit pada 6 Mei untuk menentang notis tersebut,” kata Wee ketika dihubungi BenarNews.

Menurut beliau, perkara itu didengar mahkamah pada pagi Selasa ketika sesi pengurusan kes untuk prosiding bankrapsi berkenaan, yang telah diadakan secara maya di hadapan Timbalan Pendaftar Ida Rahayu Sharif kerana situasi pandemik COVID-19.

Kata Wee, mereka akan memfailkan permohonan untuk mengenepikan notis muflis oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta penangguhan selewat-lewatnya pada 6 Jun depan.

“Sesi pengurusan kes yang seterusnya telah ditetapkan pada 21 Jun ini,” tambah beliau.

Difahamkan, Nazifuddin telah diarahkan membayar sebanyak RM37.6 juta dengan faedah sebanyak lima peratus setahun di antara 6 Julai 2020 dan 4 Februari 2021, berjumlah RM1.1 juta, dari tarikh penghakiman berserta dengan kos.

Dalam notis muflis terhadap Nazifuddin bertarikh 4 Feb 2021, LHDN menyatakan bahawa sekiranya beliau gagal menjelaskan bayaran, satu prosiding kebankrapan boleh dikenakan terhadapnya.

Menurut laporan akhbar tempatan New Straits Times, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Julai 2020 telah mengarahkan anak lelaki Najib itu menjelaskan bayaran cukai sejumlah RM37,644,810.73 kepada LHDN.

Arahan itu dibuat dalam satu penghakiman ringkas (summary judgment) dalam kes saman sivil yang dibawa oleh LHDN bagi mendapatkan cukai yang tidak dibayar Nazifuddin di antara tahun 2011 dan 2017.

Pada awal April lalu, Najib telah diserahkan notis muflis kerana didakwa gagal menyelesaikan tunggakan cukai dan denda sebanyak AS$421 juta, yang boleh mengakhiri karier politiknya.

Perkara itu diumumkan oleh Najib melalui satu hantaran media sosial pada 6 April, menyatakan bahawa LHDN telah menyerahkan notis kebankrapan kepadanya setelah didakwa gagal melunaskan bayaran cukai pendapatan peribadi dari 2011 hingga 2017. Menurutnya, tindakan itu dibuat setelah parti politiknya memutuskan untuk berpisah dengan gabungan kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

“Apakah kesan akibat dari notis bankrap ini? Saya akan kehilangan status sebagai Anggota Parlimen Pekan dan pilihan raya kecil akan diadakan,” kata Najib dalam catatannya di Facebook.

Beliau merupakan bekas presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang memegang kerusi Parlimen terbanyak dalam kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan peguambela dalam beberapa dakwaan jenayah terhadap Najib di mahkamah juga telah disaman lembaga cukai kerana didakwa gagal membayar cukai bagi tempoh lima tahun.

Menurut laporan akhbar tempatan The MalayMail, Shafee pada Selasa mengesahkan bahawa LHDN telah mengambil tindakan saman terhadapnya kerana didakwa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM9.41 juta (AS$2.28 juta).

Beliau bagaimanapun menyifatkan bahawa tindakan itu adalah sesuatu yang berbaur politik, dan merupakan sesuatu yang “tidak beretika”.

“Kami masih belum menerima apa-apa daripada LHDN sehingga hari ini.

“Saya menyifatkan tindakan ini sebagai satu langkah politik. Itu sahaja yang ingin saya katakan,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.

Shafee bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Istana Kehakiman di Putrajaya pada Selasa. Beliau mewakili Najib dalam rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap sabitan dan hukuman penjara atas tujuh pertuduhan jenayah membabitkan RM42 juta (AS$10.18 juta) dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut laporan itu, LHDN mendakwa Shafee berhutang dengan kerajaan cukai bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 berjumlah RM9.41 juta.

Jumlah itu termasuk amaun penalti kerana kelewatan membayar cukai oleh Shafee antara 2011 dan 2016.

Related Articles

Video
YouTube