28.6 C
Gombak
Friday, July 23, 2021

Covid-19 melonjak dalam kalangan kanak-kanak di Indonesia

Must read

Kanak-kanak bermain tanpa pelitup muka dan jarak sosial di tengah-tengah pusat makanan jalanan di Jakarta minggu lalu. (Gambar AP)JAKARTA: Jumlah kanak-kanak Indonesia yang dijangkiti coronavirus meningkat hampir tiga kali ganda sejak Mei, dengan kematian bayi akibat Covid-19 naik mendadak, kata seorang pakar pediatrik kanan hari ini.

Indonesia berdepan lonjakan kes bulan ini, dengan rekod terbaharu pada hari keenam sejak 21 Jun termasuk kenaikan harian lebih 21,807 pada Rabu, sekali gus mendesak kerajaan untuk melaksanakan langkah yang lebih ketat.

Ketua Persatuan Pediatrik Indonesia, Dr Aman Pulungan berkata kematian mingguan akibat Covid-19 membabitkan kanak-kanak di bawah lima tahun meningkat kepada 24 minggu lalu berbanding 13 pada minggu sebelumnya.

Ia adalah kadar kenaikan yang lebih besar berbanding kenaikan keseluruhan kematian Covid-19 dari 1,783 kepada 2,476 kematian di seluruh negara dalam tempoh yang sama.

Aman berkata jangkitan dalam kalangan kanak-kanak meningkat dengan pantas.

“Ia semakin meningkat kini. Pada pertengahan Mei ada sekitar 2,000 hingga 2,500 kes setiap minggu,” kata Aman. “Minggu lalu ada lebih 6,000 kes.”

Menurut data rasmi, peratusan keseluruhan kes membabitkan mereka yang berusia di bawah 18 tahun telah meningkat kepada 12.6% pada bulan Jun berbanding 5% pada bulan Julai tahun lalu. Pun begitu Aman mengakui lebih ramai kanak-kanak telah disaring.

Presiden Joko Widodo minggu ini mengumumkan pihak berkuasa telah memberi lampu hijau kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun untuk diinokulasi dengan vaksin Sinovac.

Aman berkata pakar pediatrik juga berdepan dengan kes “Covid panjang”, Covid dengan gejala yang melemahkan dan berlanjutan beberapa bulan selepas jangkitan dalam kalangan kanak-kanak Indonesia.

Dia percaya kenaikan jangkitan dalam kalangan kanak-kanak cenderung berpunca dari kurangnya pengetahuan berbanding kesan varian yang lebih mudah dijangkiti.

“Ini bukan varian Delta, tapi sistem,” katanya, merujuk kepada varian yang pertama kali ditemui di India.

“Kurang ujian, kurang pengesanan. Dan orang masih tidak percaya kanak-kanak boleh menderita dan mati akibat Covid. Kesedaran masih rendah. “

Related Articles

Video
YouTube