29.1 C
Gombak
Wednesday, June 23, 2021

Covid-19: 24 kluster baharu, 19 babit tempat kerja

Must read

Sebanyak 19 daripada keseluruhan 24 kluster yang direkodkan hari ini membabitkan tempat kerja, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, Selangor merekodkan kluster tempat kerja tertinggi membabitkan lima kluster iaitu Tapak Bina Bandar Sunsuria (Sepang), Tapak Bina Jalan Wawasan (Sepang), Tapak Bina Persiaran Bukit Raja (Klang), Jalan Manan 2 (Petaling dan Kuala Selangor) dan kluster Taman Sentosa (Hulu Langat).

“Sejumlah 236 kes positif Covid-19 dicatatkan bagi lima kluster itu membabitkan daripada sebanyak 621 saringan yang dibuat,” katanya dalam kenyataan media situasi semasa Covid-19, hari ini.

Menurutnya, kluster tempat kerja di negeri lain yang dicatatkan hari ini adalah empat di Johor; Kelantan (tiga), Pulau Pinang (dua), dan masing-masing satu di Sarawak, Sabah, Perak, Pahang dan Putrajaya.

Selain itu, beliau berkata, terdapat empat kluster berkaitan aktiviti komuniti direkodkan iaitu masing-masing satu di Sarawak dan Johor serta dua kluster lagi di Pahang.

“Turut direkodkan ialah satu kategori kluster pendidikan lain iaitu kluster Damai Budi membabitkan jangkitan di daerah Cheras, Kuala Lumpur yang setakat ini menyebabkan enam kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, katanya, secara keseluruhan sejak pandemik bermula sudah terdapat 2,261 kluster Covid-19 di negara ini.

“Jumlah kluster yang sudah tamat adalah sebanyak 1,578 kluster, manakala jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan membabitkan 683 kluster,” katanya.

SumberMSN News

Related Articles

Video
YouTube