31.4 C
Gombak
Wednesday, May 12, 2021

BN kumpul maklum balas bertanding PRU15 menggunakan simbol ‘dacing’

Must read

Barisan Nasional (BN) sedang menimbang untuk bergerak secara bersendirian pada pilihan raya akan datang tanpa sekutunya dalam kerajaan persekutuan, dengan mengumpul maklum balas daripada akar umbi sebelum membuat keputusan itu.

Ini bermakna simbol “dacing” putih dan biru akan digunakan, dan meninggalkan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) dan juga Muafakat Nasional (MN), piagam yang ditandatangani bersama PAS tahun lepas.

BN yang pernah berkuasa sebelum ini melakukan kaji selidik sama ada jenama atau logo gabungan itu masih relevan, dan adakah menggunakan kembali logo itu merupakan langkah bijak, selepas buat pertama kali dalam sejarah kalah pada pilihan raya tahun 2018.

“Kajian itu mahu melihat apakah Bersatu dan PAS popular dalam kalangan rakyat Malaysia,” kata sumber yang mengetahui tentang kaji selidik melibatkan petugas komunikasi BN di seluruh negara itu kepada MalaysiaNow.

Kajian ini dilakukan ketika wujud ketegangan antara Umno dan PN, berikutan penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak.

Faizal yang merupakan timbalan presiden Bersatu, kalah dalam usul undi percaya yang dicadangkan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Jumaat lepas, selepas berlaku pertikaian antara beliau dan Umno mengenai pelantikan beberapa pegawai penting termasuk setiausaha politiknya.

Sejak dari itu PAS dan Bersatu mengkritik tindakan Umno menyingkirkan Faizal.

BN pernah menguasai kerajaan persekutuan selama enam dekad sebelum tersungkur pada pilihan raya 2018.

Kajian ini dilakukan ketika wujud ketegangan antara Umno dan PN, berikutan penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak.
Kemudiannya empat parti mengumumkan keluar daripada gabungan itu: Gerakan dan myPPP di semenanjung, serta PBB dan SUPP di Malaysia Timur.

Selain Umno, gabungan itu kini masih disokong MCA, MIC dan beberapa parti komponen kecil berasaskan kaum seperti Kimma, IPF dan Makkal Sakti.

Kaji selidik BN itu dilakukan selepas perkara yang sama dilakukan Umno sebelum ini, bagi mengetahui sama ada ahli parti Melayu itu terbuka untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR pada pilihan raya umum akan datang.

Beberapa pemerhati politik berkata mereka tidak terkejut dengan tindakan yang diambil oleh BN bagi menghadapi pilihan raya umum secara bersendirian.

Penganalisis politik Mahadee Ismail mengatakan gabungan itu merasakan diri mereka ditipu di peringkat persekutuan meskipun memiliki jumlah kerusi lebih besar berbanding parti lain dalam kerajaan PN.

Katanya beberapa pemimpin BN juga merasakan nasib yang serupa menimpa gabungan itu di Perak dan Sabah, di mana kerajaan negeri diketuai bukan orang BN.

Terdapat cakap-cakap mengatakan PRU15 perlu diadakan dalam masa terdekat bagi menafikan tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang dibentuk selepas kejatuhan Pakatan Harapan pada Februari akibat hilang mandat.

Menteri kanan Mohamed Azmin Ali baru-baru ini mendedahkan kerajaan merancang untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada September, tetapi terpaksa membatalkannya berikutan lonjakan jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

Related Articles

Video
YouTube