28.6 C
Gombak
Friday, July 23, 2021

Bintang sukan tuntut hak bersuara

Must read

PARIS: Apabila Cristiano Ronaldo dan Paul Pogba menolak tepi Coca-Cola serta botol bir Heineken semasa sidang media Euro 2020, ia menunjukkan bahawa bintang-bintang sukan itu menolak produk penaja yang tidak bersesuaian dengan nilai keperibadian mereka, kata para penganalisis.

Ronaldo memiliki pengikut media sosial gabungan sekitar 500 juta, maka apabila beliau bersuara, ia akan memberi kesan.

Kapten Portugal berusia 36 tahun itu sangat fanatik terhadap kecergasan dan menyatakan dengan jelas apa yang dirasainya terhadap botol Coca-Cola yang diletakkan di depannya ketika beliau bercakap kepada media pada Isnin lalu (14 Jun) sebelum memulakan perlawanan menentang Hungary.

Beliau mengalihkan botol Coca-Cola dari pandangan kamera sebelum berujar, dalam bahasa Portugis: “Agua!”, sebagai menggalak orang ramai untuk sebaliknya memilih pilihan semula jadi.

Ronaldo kemudian menyumbat dua gol dalam kemenangan 3-0 menentang Hungary, sekali gus menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang sejarah kejohanan tersebut.

Keesokan harinya, pemain midfield Perancis Paul Pogba – yang juga seorang Muslim dan tidak minum arak – melakukan perkara sama dengan mengalihkan botol bir Heineken ketika sidang media. Hakikat bahawa minuman bir itu adalah versi tanpa alkohol langsung tidak memperlekehkan mesejnya.

“Kita kini dalam era baru dengan atlit nampaknya menuntut hak bersuara mereka. Mereka kini nampaknya ada hak bersuara dan melakukan sesuatu yang konsisten dengan apa yang mereka fikirkan, apa yang mereka rasai, apa nilai sebenar mereka,” kata Profesor Simon Chadwick, Pengarah Pusat Sukan Industri Eropah-Asia di Sekolah Perniagaan Emlyon di Perancis.

Ronaldo sebelum ini tiada masalah ditaja minuman ringan bergula – malah beliau pernah mempromosikan Coca-Cola di China pada pertengahan 2000 dan bekerjasama dengan pesaingnya, Pepsi.

Namun Chadwick berkata, bintang Portugal itu menyuarakan dengan jelas: “Sebagai seorang individidu, saya ada hak peribadi untuk meneruskan hidup daripada apa yang saya lakukan pada masa lalu.

“Saya berhak menukar pandangan saya, saya boleh menukar nilai yang ada pada diri saya, saya berhak menolak produk yang tidak konsisten dengan diri saya atau apa yang saya cuba mewakili.”

– AFP/FZ/fz

 

Related Articles

Video
YouTube