25.3 C
Gombak
Tuesday, June 22, 2021

Biden, Sisi bincang perkemas gencatan senjata Gaza

Must read

KAHERAH: Presiden AS Joe Biden menghubungi Presiden Mesir Abdelfattah al-Sisi semalam bagi membincangkan pengukuhan gencatan senjata di Gaza, bantuan kemanusiaan segera ke semenanjung itu dan usaha pembinaan semula antarabangsa, kata presiden Mesir itu.

Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan cara untuk menghidupkan kembali proses perdamaian antara Israel dan Palestin setelah gelombang keganasan terbaharu meletus antara kedua-dua pihak, katanya dalam satu kenyataan.

Gencatan senjata terkini hasil inisiatif Mesir itu masuk hari keempat selepas keganasan berlarutan selama 11 hari.

Kaherah akan menjadi perhentian ketika lawatan Setiausaha Negara AS Antony Blinken ke wilayah itu pada Isnin.

“Biden menjelaskan keazaman negaranya untuk mengembalikan keamanan dan memulihkan keadaan di wilayah Palestin, serta mengkoordinasikan usaha dengan semua rakan antarabangsa dalam menyokong pihak berkuasa Palestin serta pembinaan semula,” kata kenyataan itu.

Di Washington, Rumah Putih berkata dalam satu kenyataan, Biden dalam perbualan itu mengucapkan terima kasih kepada Mesir atas “diplomasi dan koordinasi yang berjaya dengan AS” untuk menamatkan persengketaan.

Biden dan Sisi membincangkan keperluan mendesak untuk memberikan bantuan kemanusiaan di Gaza dan menyokong usaha membangunkan kembali “dengan cara yang menguntungkan masyarakat di sana dan bukan Hamas”, katanya.

Ia kali kedua Biden menghubungi Sisi dalam beberapa hari untuk membincangkan konflik tersebut. Tetapi kali ini, perbincangan itu diperluas kepada hubungan dua hala dan beberapa isu wilayah, termasuk Libya dan Iraq.

Biden dan Sisi bertukar pandangan mengenai Empangan Renaissance Ethiopia, yang dibangunkan di Sungai Nil Biru yang disifatkan Mesir sebagai satu ancaman, katanya.

Sisi dan Biden turut membincangkan hak asasi manusia di Mesir dan “komitmen mereka untuk terlibat dalam dialog yang telus … dalam hal ini”, kata presiden.

Biden “menekankan peri pentingnya dialog konstruktif mengenai hak asasi manusia di Mesir”, menurut kenyataan Rumah Putih itu lagi.

Sisi, yang menggulingkan Ikhwanul Muslimin pada 2013, cukup tegas terhadap perbezaan pendapat politik.

Ia terus diperketatkan beberapa tahun kebelakangan ini.

Sisi berkata tidak ada tahanan politik di Mesir dan kestabilan serta keamanan adalah perkara paling utama.

Related Articles

Video
YouTube