26.6 C
Gombak
Thursday, July 29, 2021

Berapa banyak dana akan dikeluarkan daripada KWAN, badan pemikir soal kerajaan

Must read

Sebuah badan pemikir menggesa kerajaan mendedahkan jumlah sebenar dana yang hendak dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi perbelanjaan vaksin.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam kenyataan menyeru agar kerajaan lebih telus dan bertanggungjawab memandangkan kira-kira RM17.4 bilion dilaporkan disimpan dalam KWAN.

Ia mendapati RM5 bilion sudah diperuntukkan melalui belanjawan untuk vaksin sebelum ini, dengan RM3 bilion dalam Belanjawan 2021 dan tambahan RM2 bilion diumumkan bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh menggesa Putrajaya memberi lebih banyak butiran bagaimana wang itu akan digunakan.

Tambah beliau, perlu dijelaskan lagi mengapa lebih banyak dana kini diperlukan untuk inisiatif vaksinasi.

Katanya, Ordinan Darurat yang membenarkan Putrajaya menggunakan dana KWAN menjadi contoh permulaan bagi penggunaan berterusan dana amanah itu kerana kerajaan hanya pernah mengeluarkan wang sekali sejak 1988.

“KWAN adalah satu-satunya dana berkaitan minyak di Malaysia. Memandangkan negara banyak bergantung kepada hasil gas dan minyak, pengurusan dana ini sangat penting.

“Sebanyak RM17.4 bilion dikumpulkan sejak 33 tahun dana amanah ini ditubuhkan, dan simpanan ini perlu dianggap sumber berharga untuk generasi akan datang, hanya untuk kegunaan dalam keadaan luar biasa dan kecemasan.

“Dalam jangka panjang, kerajaan perlu mengkaji pelaksanaan peraturan pengeluaran lebih khusus untuk KWAN, seperti menetapkan peratusan pengeluaran dana yang dipersetujui bagi memastikan kestabilan belanjawan,” kata beliau.

Beliau berkata, kerajaan boleh membiayai perbelanjaan tambahan dengan melakukan lebih banyak pinjaman berbanding pengeluaran dana daripada KWAN.

Beliau turut menggesa sidang Parlimen diadakan secepat mungkin kerana pemantauan Parlimen sangat penting.

Related Articles

Video
YouTube