26.9 C
Gombak
Tuesday, May 11, 2021

Badan Peguam mohon mahkamah isytihar beberapa peruntukan Ordinan Darurat tidak sah

Must read

Badan Peguam Malaysia telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan bagi membatalkan beberapa bahagian dalam Ordinan Darurat serta agar perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Tindakan undang-undang itu memohon deklarasi beberapa peruntukan yang berkaitan dengan proklamasi darurat, yang menurut badan tersebut terlalu luas dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas berkata tindakan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Ordinan Darurat menyebabkan banyak kuasa diberikan kepada eksekutif, manakala perlindungan perlembagaan seperti semakan dan kebertanggungjawaban Parlimen dikurangkan.

“Dalam apa juga keadaan, rakyat tidak boleh dinafikan perlindungan asas dan perlindungan prosedural seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita,” katanya dalam kenyataan.

Peruntukan yang ingin dibatalkan oleh Badan Peguam Malaysia adalah seperti berikut:

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021

Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 (berkenaan berita palsu)

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021

Belum dapat dipastikan jika Mahkamah Tinggi akan membenarkan tindakan undang-undang ini diteruskan, memandangkan semua ordinan darurat diisytiharkan Agong di bawah Klausa 2, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Klausa 8 dalam perkara itu dengan jelas menyatakan tiada mahkamah yang mempunyai bidang kuasa terhadap mana-mana ordinan yang diisytihar di bawah Klausa 2B.

 

Related Articles

Video
YouTube