28.6 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

Badan Hak Asasi Eropah: Pekerja Asing Ladang Kelapa Sawit Malaysia Diberi Layanan Buruk

Must read

Pekerja migran syarikat minyak kelapa sawit senaraian awam terbesar di Malaysia, IOI Corporation Berhad mendakwa dianiaya dan tidak diberikan kontrak pekerjaan yang telus, demikian menurut kumpulan hak asasi berpangkalan di Helsinki, Finnwatch dalam laporan yang diterbitkan pada Rabu.

Dakwaan penganiayaan itu telah menarik perhatian Jabatan Kastam dan Kawalan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) untuk menjalankan siasatan ke atas merit aduan buruh paksa, sekaligus meletakkan syarikat konglomerat itu dalam risiko untuk dikenakan sekatan impot seperti mana yang telah diambil keatas beberapa lagi syarikat Malaysia disebabkan amalan penganiayaan terhadap pekerja.

Walaupun CBP tidak memberikan reaksi kepada pertanyaan BenarNews berhubung siasatan ke atas IOI Corp, seorang aktivis migran mendakwa agensi AS itu telah mengesahkan satu petisyen telah diterima berkaitan dakwaan melibatkan pekerja asing di bawah syarikat itu dan sudah memadai untuk memulakan siasatan keatas merit aduan.

“Para pekerja yang ditemubual berkata mereka tidak berpuas hati dengan polisi dan amalan gaji bagi pekerja di ladang tersebut.

“Majikan telah berjanji untuk membuat perkiraan upah harian atau bulanan ketika mereka setuju untuk menerima tawaran pekerjaan tetapi sebaliknya para pekerja dibayar berdasarkan prestasi pada kadar yang berbeza-beza dari suatu kerja dengan kerja yang lain, serta dikira menggunakan kaedah yang kompleks,” kata laporan Finnwatch itu.

Menurut badan itu, masalah tersebut telah berlanjutan sejak 2014 di mana IOI Corp telah berikrar untuk membetulkannya pada 2017 namun masih tetap sama.

Badan hak asasi itu juga mendakwa telah menemui bukti para pekerja syarikat berkenaan telah memalsukan tanda tangan para pekerja bagi mencipta bukti yang mereka gagal mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak syarikat, untuk melindungi perbuatan membayar mereka di bawah kadar gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

“Selepas Finnwatch membangkitkan isu ini kepada pihak IOI Corp, pekerja yang terlibat dalam isu berkenaan telah meletakkan jawatan. Selain itu, salah seorang pengurus di ladang telah ditukarkan ke jawatan lain apabila beliau didapati menampar pekerja,” ujar badan berkenaan.

Selain itu, para pekerja yang kebanyakan dari India, telah didesak untuk menandatangani kontrak pekerjaan dalam Bahasa Inggeris – Bahasa yang asing bagi mereka – amalan yang bertentangan dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Malah, mereka turut ditempatkan di kediaman kotor yang tidak memenuhi standard undang-undang di Malaysia, yang menetapkan para majikan bertanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal yang sesuai, menurut Akta 446 (Pindaan) 2019 berkaitan Standard Minimum Kediaman dan Kemudahan Pekerja.

Menurut Finnwatch siasatan terhadap IOI Corp, khususnya menjurus kepada ladang Mekassar milik syarikat itu yang terletak di negeri Pahang, timur Kuala Lumpur sejak Ogos tahun lalu, susulan aduan yang diterima dari ahli keluarga salah seorang pekerja dari India.

Siasatan CBP

Laporan Finnwatch diterbitkan beberapa hari selepas aktivis buruh dikenali, Andy Hall mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan CBP untuk menyiasat amalan oleh IOI Corp berikutan satu petisyen yang dihantar olehnya pada awal 2021.

“Saya dengan ini mengesahkan bahawa pada awal 2021, saya telah menfailkan satu petisyen berhubung kebimbangan saya mengenai wujudnya beberapa indikator ILO mengenai amalan buruh paksa dalam operasi IOI, seperti mana yang didakwa oleh para pekerja IOI.

“Saya juga dengan ini mengesahkan pada 26 Mei 2021, CBP telah menjawab petisyen saya menerusi satu surat, yang dirujuk oleh IOI dalam kenyataan mereka pada hari ini, menyatakan ‘CBP telah menyemak petisyen dan merumuskan yang maklumat itu memadai untuk menyiasat merit dakwaan ini’,” ujar Hall, yang menetap di Nepal.

Surat itu telah dilihat oleh BenarNews, mengesahkan kenyataan Hall dengan pihak CBP yang merakamkan penghargaan terhadapnya kerana melaporkan dakwaan berhubung amalan buruh paksa di IOI Corp di Malaysia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, IOI Corp berkata syarikat itu sedia maklum berhubung dakwaan yang dikemukakan oleh Hall dan memberi komitmen untuk memberi kerjasama penuh kepada CBP dalam sebarang proses siasatan.

“IOI mengambil maklum mengenai kandungan surat yang mengesahkan penerimaan satu petisyen yang menyatakan maklumat mengenai dakwaan keadaan buruh paksa di IOI Malaysia, dan CBP telah merumuskan yang maklumat itu memadai untuk menyiasat merit dakwaan,” kata syarikat itu.

IOI bagaimanapun berkata setakat Rabu, mereka masih belum dihubungi oleh CBP berhubung siasatan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, IOI akan mengambil langkah proaktif untuk menghubungi CBP bagi mengesahkan kedudukan siasatan dan menawarkan kerjasama dalam mengemukakan penjelasan dan dokumen-dokumen bagi membantu siastan,” menurut kenyataan itu.

IOI adalah salah sebuah syarikat konglomerat terbesar di Malaysia yang terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan di Malaysia, termasuk pembangunan hartanah, selain perladangan sawit dan pemprosesan minyak.

Sebelum ini, CBP telah menguatkuasakan sekatan impot ke atas pengeluar sarung getah terbesar Malaysia, Top Glove, serta syarikat pengeluar minyak sawit Sime Darby Plantations dan FGV Holdings atas dakwaan amalan buruh paksa dalam operasi mereka.

Sementara itu, pegawai polis Malaysia yang mengetuai bahagian anti-pemerdagangan dan penyeludupan migran, asistan komisioner Azry Akmar Ayob berkata isu buruh paksa tidak terlalu berleluasa di Malaysia.

“Saya tidak fikir situasi buruh paksa terlalu buruk sehingga tidak terkawal.

“Kebanyakan kes berlaku disebabkan oleh kurangnya kesedaran di kalangan para pemilik syarikat (berkaitan isu buruh paksa) dan syarikat-syarikat ini mengabaikan tanggungjawab untuk menyediakan persekitaran yang baik kepada para pekerja,” katanya kepada agensi berita Reuters pada Rabu.

Menurutnya, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita asing berkenaan, berdasarkan maklumat, Polis Malaysia hanya menemui kurang dari 10 kes buruh paksa setakat enam bulan pertama tahun ini, berbanding 62 kes yang dilaporkan pada tahun lalu, kebanyakannya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, amat bergantung kepada tenaga buruh asing dalam sektor perladangan kelapa sawit dengan anggaran 330,000 pekerja dari India, Bangladesh dan Indonesia yang merangkumi lebih 70 peratus daripada keseluruhan pekerja di ladang-ladang sawit negara itu.

Pada Mei lalu, kerajaan Malaysia dilaporkan telah meluluskan kemasukan 32,000 pekerja asing untuk ditempatan di ladang-ladang kelapa sawit namun proses kemasukan mereka terjejas akibat peningkatan mendadak jangkitan COVID-19 di negara itu sejak beberapa bulan lepas.

Related Articles

Video
YouTube