25.3 C
Gombak
Tuesday, June 22, 2021

Aktiviti fizikal intensiti rendah boleh diteruskan di gim, studio kecergasan

Must read

SINGAPURA: Kegiatan-kegiatan fizikal intensiti rendah dibenarkan diteruskan di gimnasium dan studio kecergasan di tengah-tengah peraturan COVID-19 yang diperketatkan, menurut Sport Singapore (SportSG) dalam makluman yang dikemas kini pada Jumaat (7 Mei).

Pada awal minggu ini, pihak berkuasa mengumumkan bahawa premis-premis dalam bangunan sedemikian perlu ditutup mulai Sabtu (8 Mei) sehingga 30 Mei bagi membendung penularan lanjut COVID-19 kerana premis-premis sedemikian dikenal pasti sebagai persekitaran yang berisiko tinggi.

Iklaan

Senarai itu merangkumi kemudahan-kemudahan tertutup seperti gimnasium dan studio kecergasan termasuk studio yoga dan pilate, menurut garis panduan SportSG pada Khamis.

Dalam garis panduan yang dikemas kini pada Jumaat, SportSG menyatakan aktiviti fizikal berisiko tinggi, persekitaran sukan dan senaman yang diadakan dalam bangunan kini dibenarkan untuk terus beroperasi hanya jika ia menawarkan “aktiviti fizikal intensiti rendah, sukan dan senaman di mana kesemua peserta dan jurulatih memakai pelitup pada setiap masa”.

Premis-premis yang tersenarai dalam garis panduan yang dikemas kini pada Jumaat termasuk gimnasium dalam bangunan serta studio kecergasan, tarian, barre dan senaman ‘spin’.

“Premis dalam bangunan sedemikian (dan termasuk sebarang jenis premis tertutup seperti bilik acara hotel, kelab atau kondominium) tidak boleh digunakan atau disewakan kepada individu lain untuk kegunaan sebarang aktiviti fizikal dan sukan intensiti tinggi di mana para peserta berada pada jarak yang dekat antara satu sama lain dan tidak memakai pelitup sepanjang tempoh yang ditetapkan,” menurut SportSG.

Kemudahan-kemudahan itu juga tidak dibenarkan menawarkan sebarang latihan berat, kekuatan atau ketahanan dalam apa bentuk sekali pun, atau menyediakan peralatan untuk melakukan latihan sedemikian, kerana aktiviti seperti itu dikaitkan dengan aktiviti berat.

Agensi-agensi Pemerintah akan menjalankan pemeriksaan, menurut SportSG. Ia menambah bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap perniagaan atau individu yang gagal mematuhi langkah pengurusan selamat.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berkata dalam catatan Facebooknya pada Jumaat bahawa langkah-langkah itu dikemas kini selepas mengadakan perbincangan bersama dengan para pemilik perniagaan dan pakar dalam industri sukan dan kecergasan sepanjang beberapa hari lalu.

“Menyusuli perbincangan itu, kami membenarkan beberapa aktiviti berisiko rendah untuk diteruskan di bawah langkah pengurusan selamat yang ketat sepanjang tempoh berwaspada ini,” katanya.

“Ini akan mengurangkan tekanan bagi sesetengah pihak; namun saya ingin menekankan bahawa langkah pengurusan selamat ketat mesti dipatuhi pada setiap masa,” katanya lagi.

Encik Tong juga berkata Pemerintah sedang melakar langkah sokongan kewangan bagi membantu perniagaan yang terpaksa ditutup dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi.

Bayaran balik bagi tempahan yang jatuh pada tarikh-tarikh berikut akan diproses dalam masa tujuh hari bekerja seterusnya, menurut SportSG.

LANGKAH PENGURUSAN SELAMAT DIPERTINGKAT

Para peserta, jurulatih dan kakitangan perlu mematuhi langkah pengurusan selamat yang lebih ketat.

Mereka yang melakukan kegiatan sukan dan fizikal intensiti rendah yang dibenarkan dalam persekitaran berisiko tinggi perlu memakai pelitup pada setiap masa.

Jika terdapat peserta yang menanggalkan pelitup, aktiviti itu harus dihentikan dengan segera.

Para peserta juga tidak boleh mengongsi peralatan sukan dan senaman seperti mesin senaman, kelengkapan sukan, basikal senaman, treadmill atau tikar senaman di mana risiko berlaku jangkitan adalah tinggi.

Premis-premis yang dibenarkan terus beroperasi tidak boleh menyediakan peralatan sedemikian untuk kegunaan para peserta.

Para pemilik atau pengendali kemudahan bertanggungjawab memastikan langkah pengurusan selamat dipatuhi dan para peserta atau pengguna turut mematuhi langkah-langkah tersebut. 

– CNA/HA/ha

Related Articles

Video
YouTube