28.6 C
Gombak
Friday, July 23, 2021

Agong, Raja-Raja Malaysia: Adakan Semula Sidang Parlimen, Tamatkan Darurat Pada Ogos

Must read

Parlimen Malaysia, yang kini digantung, mesti bersidang dengan secepat mungkin, titah Yang di-Pertuan Agong negara itu pada Rabu manakala Majlis Raja-Raja mahukan darurat yang dilaksanakan di seluruh negara tidak dilanjutkan selepas tamat pada 1 Ogos.

Selepas mengadakan mesyuarat khas selama empat jam, Agong dan raja-raja bersetuju bahawa Parlimen, yang digantung lima bulan lalu, mesti bersidang semula secepat mungkin, kata Istana Negara dalam satu kenyataan yang disambut baik dan dipersetujui oleh ramai pemimpin politik.

Setelah memperhalusi pendapat daripada pelbagai pihak, “Yang Mulia Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin,” menurut kenyataan istana itu.

“Ini bagi membolehkan pelan pemulihan negara dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahasakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.”

Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja berlangsung selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah mengadakan siri pertemuan dengan para pemimpin politik daripada keseluruhan spektrum, di mana kebanyakan Anggota Parlimen berkenaan memaklumkan bahawa adalah amat penting untuk mengadakan semula sidang Parlimen.

Kali terakhir badan perundangan negara itu bersidang ialah pada 14 Disember 2020 dan digantung pada 12 Januari 2021 apabila Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri Muyhiddin Yassin, mengisytiharkan darurat berikutan pandemik koronavirus.

Pada Selasa, Muhyiddin berkata Parlimen akan bersidang seawalnya pada September sekiranya kes baru jangkitan COVID-19 berkurangan di bawah 2,000 sehari.

Majlis Raja-Raja, yang dianggotai Sultan yang memerintah sembilan daripada 13 negeri Malaysia serta Yang di-Pertua empat negeri lain, bersetuju bahawa darurat tidak boleh dilanjutkan selepas 1 Ogos, menurut kenyataan berasingan daripada badan rasmi berkenaan pada Rabu.

“Tidak ada keperluan meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021,” menurut kenyataan itu yang ditandatangani oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad.

“Raja-Raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.”

‘Kebijaksanaan dan kebimbangan Raja-Raja Melayu’

Ramai Ahli Parlimen dan rakyat mempersoalkan kewajaran diadakan darurat untuk mengekang penularan pandemik itu sedangkan kerajaan telah pun melaksanakan perintah kawalan pergerakan pelbagai peringkat untuk membendung kes COVID-19.

Para penggubal undang-undang juga mengkritik tindakan menggantung Parlimen pada masa badan perundangan itu amat diperlukan. Mereka mendakwa bahawa Muhyiddin, yang menerajui kerajaan tidak dipilih yang memegang tampuk kuasa pada Mac 2020, berusaha untuk terus menyandang jawatan setelah, menurut mereka, beliau kehilangan sokongan majoriti tipis Ahli Parlimennya.

Pemimpin pembangkang dan Ahli Parlimen Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan Majlis Raja-raja pada Rabu yang meminta supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

“Menjunjung kasih atas wewenang Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu melalui keputusan yang dizahirkan,” kata Anwar dalam catatan Twitter beliau.

“Saya menanti langkah selanjutnya dari kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang Parlimen sesegera mungkin.”

Turut menyokong pendapat Majlis Raja-raja ialah Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Ahli Parlimen dan presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang menganggotai gabungan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

“UMNO mendukung dan menyokong pandangan Seri Paduka bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin,” kata Ahmad Zahid sambil menyuarakan pendapat partinya, yang bertelagah dengan Muhyiddin dan parti Bersatu pimpinannya.

“Ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini.”

Baru-baru ini Malaysia berada dalam gelombang keempat pandemik itu, setelah dapat membendung jangkitan baru hampir sepanjang tahun lalu. Kes jangkitan masih tinggi tetapi tidak melonjak naik seperti yang berlaku pada beberapa minggu lalu.

Negara itu melaporkan 5,150 kes jangkitan baru pada Rabu menjadikan jumlah kes hampir 700,000. Dengan 73 kematian berkaitan dengan virus itu dalam tempoh 24 jam lalu, kematian akibat pandemik itu meningkat kepada 4,142.

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin (kanan) menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Kuala Lumpur, 28 Oktober 2020. [Ihsan Istana Negara melalui AFP]

Muhyiddin ‘perdana menteri tempang’

Kenyataan “tegas dan langsung” raja-raja menunjukkan bahawa mereka tidak gembira dengan pelaksanaan darurat yang gagal menurunkan kes COVID-19, kata Tunku Mohar Tunku Mokhtar, penganalisis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Dengan menyuarakan pandangan bahawa darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos, jelas menunjukkan yang mereka tidak gembira dengan keadaan darurat sekarang,” kata Mokhtar kepada BenarNews.

“Secara keseluruhannya, raja-raja dengan jelas menyatakan kebimbangan mereka terhadap kegagalan kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat.”

Muhyiddin mungkin masih berusaha untuk menunda pembukaan semula Parlimen, kata Bridget Welsh, saintis politik dari Institut Pengajian Asia University of Nottingham Malaysia.

“Muhyiddin adalah perdana menteri yang tempang, tetapi beliau akan berusaha sedaya upaya untuk menterbalikkan keadaan ini,” kata Welsh kepada BenarNews.

Sebilangan anggota kabinetnya juga sudah pun cuba berbuat demikian.

Sejurus selepas Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan mereka, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi Undang-undang dan Parlimen Takiyuddin Hassan menyuarakan pendapatnya mengenai apa yang dimaksudkan oleh raja-raja tentang “secepat mungkin.”

“Sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin, tetapi Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan supaya persidangan itu diadakan pada bulan ini atau bulan itu,” katanya pada satu perbincangan dalam talian di laman web partinya, PAS.

“Sekarang kita dah hampir penghujung Jun. September…sudah hampir. Pasti persidangan akan diadakan.”

Related Articles

Video
YouTube