28.6 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

9 pekerja China antara 12 maut dalam letupan bas di Pakistan

Must read

Anggota penyelamat dan penduduk tempatan berada di tempat letupan bas di daerah Kohistan Kohistan,wilayah Khyber Pakhtunkhwa pada Rabu. (Gambar AP)PESHAWAR: Sembilan pekerja China antara 12 yang maut dalam letupan sebuah bas hari ini, kata pegawai kerajaan dan polis.

Pegawai Pakistan berkata, punca letupan itu masih disiasat, tetapi Kedutaan China di Islamabad berkata, warganegaranya “diserang”  dengan mendakwa kejadian akibat bom, selain menggesa pelakunya dihukum. Kerajaan Pakistan bagaimanapun berkata letupan itu disebabkan “kebocoran gas.”

Bas itu membawa jurutera, juruukur dan kakitangan mekanikal China ke tapak pembinaan empangan Dasu di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, kata pegawai kerajaan tempatan yang tidak mahu dinamakan kepada AFP.

“Letupan itu mencetuskan kebakaran di bahagian enjin dan menyebabkan bas itu terjunam ke gaung.”

Katanya, 28 warga China lain turut cedera.

Seorang pegawai polis tempatan yang tidak mahu dinamakan, mengesahkan kejadian itu dan berkata: “Ia adalah letupan besar, tetapi puncanya belum diketahui”.

Keselamatan pekerja China di Pakistan sudah lama menjadi isu. Sebahagian besar daripada mereka ditempatkan di negara itu untuk memantau dan membina projek infrastruktur.

Kedutaan China dalam kenyataan hari ini berkata: “Satu projek sebuah syarikat China di Pakistan menghadapi serangan yang menyebabkan kematian warganegara China.”

Ia menggesa syarikat China meningkatkan prosedur keselamatan mereka.

April lalu, Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab ke atas letupan berani mati di sebuah hotel mewah di barat daya Balochistan menempatkan duta China, yang tidak cedera.

Baru-baru ini, kumpulan itu mengaku melancarkan satu siri serangan bukan sahaja di kawasan puak bergolak di sepanjang sempadan, tetapi juga bandar lain di negara berkenaan, termasuk ibu negara Islamabad.

Terdapat tanda Taliban Pakistan berkumpul semula di sepanjang sempadan Afghanistan beberapa bulan ini, dengan mendakwa ia kerap bertempur dengan pegawai keselamatan.

Beijing melabur berbilion dolar di Pakistan beberapa tahun ini untuk meningkatkan infrastruktur negara itu.

Tetapi, projek dibiayai China mencetuskan kemarahan, khasnya dalam kalangan kumpulan pemisah yang berkata penduduk tempatan tidak mendapat banyak manfaat kerana kebanyakan pekerjaan diberikan kepada orang luar.

Pada 2019, penembak menyerbu sebuah hotel mewah di Balochistan menghadap projek disokong China – pelabuhan laut dalam di Gwadar yang memberikan akses strategik kepada Beijing ke Laut Arab – meragut lapan nyawa.

Jun lalu, pemberontak Baloch menyasarkan Bursa Saham Pakistan di Karachi, yang sebahagiannya dimiliki syarikat China.

Related Articles

Video
YouTube