27.9 C
Gombak
Saturday, July 24, 2021

2 menteri Umno, 5 Ahli Parlimen setuju keluar kerajaan?

Must read

Dua menteri Umno dikatakan sudah bersetuju dengan cadangan keluar kerajaan Perikatan Nasional sebelum 1 Ogos.

Selain mereka, sekurang-kurangnya lima lagi Ahli Parlimen Umno turut bersetuju berbuat demikian, kata sumber. Kebetulan, mereka juga ahli Majlis Kerja Tertinggi.
“Saya percaya majoriti Ahli Parlimen akan ikut apabila MKT mengumumkan keputusan untuk ‘pull the plug’ sebelum 1 Ogos,” katanya.

Setakat ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz, dikatakan sumber akan ‘menentang Zahid’.

Sepanjang hari ini, katanya, pemimpin Umno dan wakil rakyat parti Melayu itu bertemu Presiden Ahmad Zahid Hamidi sejak tengah hari.

Mesyuarat sedang berjalan ketika berita ini ditulis. Sumber tidak pasti berapa banyak wakil rakyat Umno yang sudah bertemu Zahid.

Sementara itu, seorang ahli MKT nafi pertemuan hari ini membincangkan tentang cadangan menarik balik sokongan parti kepada kerajaan.

“Tidak ada sebarang mesyuarat. Hanya pertemuan biasa pemimpin tertentu,” katanya ketika dihubungi.

Sumber lain pula memaklumkan usaha masih “sedang berjalan” dan parti belum membuat sebarang keputusan.

Difahamkan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional, Najib Razak, diundang ke pertemuan hari ini.

Umno adalah blok penyokong terbesar kepada kerajaan PN yang mempunyai sokongan amat rapuh di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub, dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, antara wakil rakyat Umno yang secara terbuka mengumumkan mereka tidak menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, dan Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, antara yang dilaporkan menentang langkah menarik balik sokongan Umno daripada kerajaan PN.

Related Articles

Video
YouTube