26.4 C
Gombak
Friday, July 30, 2021

10 daerah di Sabah dilanda demam babi Afrika

Must read

KOTA KINABALU: Sepuluh daerah di Sabah dilanda wabak demam babi Afrika (ASF) setakat ini, dengan kes terbaru dikesan di daerah pedalaman Nabawan.

Daerah lain yang sebelumnya terjejas termasuk Pitas, Kota Marudu, Beluran, Telupid, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Tongod.

Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan berkata, setakat ini sekurang-kurangnya satu kes ASF telah dilaporkan di Nabawan.

Kitingan, yang juga menteri pertanian dan perikanan negeri, berkata pada 18 April, sejumlah 169 babi liar telah disahkan positif ASF.

“Di samping itu, kami telah memusnahkan 398 babi yang diternak, sementara 535 yang lain mati akibat penyakit itu,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

“Jabatan (Perkhidmatan Veterinar) telah melaksanakan 234 kempen kesedaran di 14 daerah, bukan saja untuk mendidik masyarakat mengenai penyakit ini, tetapi juga untuk menekankan usaha kerajaan agar ia tidak menular ke daerah lain.

“Walaupun Sandakan telah diisytiharkan sebagai daerah wabak ASF, penyakit ini tidak merebak ke kawasan penternakan babi utama di daerah ini.”

Meskipun demikian, Kitingan berkata, pihaknya telah melaksanakan peraturan baharu untuk melindungi penternakan babi komersial, termasuk permit khas yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri bagi membolehkan babi hidup dan produk babi dipindahkan dari satu daerah ke daerah lain.

Menurut SOP baharu untuk mengawal ASF itu, mana-mana kedai menjual daging babi yang didapati dijangkiti virus akan ditutup selama satu hari untuk proses dekontaminasi.

Produk daging babi hanya akan dijual setelah kawasan tersebut diisytiharkan bebas daripada penyakit.

Selain itu, ladang babi yang disyaki menjadi sumber babi yang dijangkiti akan dikuarantin sehingga tujuh hari.

“Sekali lagi, saya ingin meyakinkan pengguna bahawa, walaupun virus ini membawa maut kepada babi, virus ini sama sekali tidak membahayakan manusia,” kata Kitingan.

Related Articles

Video
YouTube